'Tajuddin pun boleh sertai Pas'

Takiyuddin (kanan) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Hotel Grand Kampar, di sini pada Isnin.
Takiyuddin (kanan) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Hotel Grand Kampar, di sini pada Isnin.
A
A
A

KAMPAR - Pas terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menjadi ahli parti itu termasuk bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian ketika memberi respon kepada pertanyaan media mengenai pelawaan Pas Perak terhadap Tajuddin untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kota Bharu itu akan membuat semakan lanjut terhadap kenyataan tersebut.

"Pokoknya, sesiapa pun nak sertai Pas kita terima.

Untuk makluman, kelmarin kita telah adakan kempen keahlian baharu Pas di Kedah.

Kita menerima 12,000 ahli baru dalam tempoh seminggu.

"Jadi sesiapa pun boleh menyertai Pas.

Ini memperlihatkan suatu penerimaan masyarakat termasuk pengundi baharu.

Kita juga dapat melihat potensi sokongan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Hotel Grand Kampar, di sini pada Isnin.

Dalam laporan media sebelum ini, Pas Perak mempelawa Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak untuk bertanding atas tiket PN pada PRU15.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu boleh mempertimbangkan pelawaan berkenaan sekiranya beliau tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU15 nanti.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu atas alasan sikap beliau yang mengkritik parti.

Sebelum ini Tajuddin turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan beliau juga dilihat kerap kali bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.