Sila log masuk terlebih dahulu.

Presiden Cake meninggal dunia akibat komplikasi jantung

Allahyarham Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada pagi Ahad.
Allahyarham Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada pagi Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada pagi Ahad.

Allahyarham Yusoff menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun sekitar jam 7.15 pagi akibat komplikasi jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Latifah Mansor dan lima orang anak.

Anak allahyarham, Mohd Rizal memberitahu, ayahnya dirawat di HSB selepas kesihatannya semakin merosot akibat masalah jantung.

“Ayah menerajui Cake sejak 1998 dan aktif memperjuangkan isu-isu kepenggunaan Kedah ketika hayatnya sebelum menyerahkan tanggung jawab itu kepada saya pada tahun 2011 untuk meneruskan perjuangannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mohd Rizal yang juga Setiausaha Cake berkata, apabila kesihatan allahyarham semakin merosot, tumpuan untuk mengendalikan aduan kepenggunaan diambil alih sepenuhnya bagi membolehkan allahyarham memberi perhatian kepada masalah jantung yang dihidapinya.

“Ayah memang suka membantu orang lain yang dalam kesusahan selain turut aktif menyertai beberapa persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini,” katanya.

Selain menerajui Cake, allahyarham Yusoff pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara dan Persatuan Penderma Darah Negeri Kedah.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham juga merupakan mantan Setiausaha Kehormat Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah.