GPI kutip 12.3 tan sampah di pesisir pantai

GPI bekerjasama dengan sukarelawan membersihkan pantai di Kuala Terengganu. - Foto GPI
GPI bekerjasama dengan sukarelawan membersihkan pantai di Kuala Terengganu. - Foto GPI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Geng Plastik Ija (GPI) iaitu sebuah pasukan sukarelawan mengutip sebanyak 12.3 tan sampah di pesisir pantai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini di seluruh Terengganu.

Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata, jumlah itu hasil kutipan melalui 62 program gotong-royong yang diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak di 36 pantai negeri ini bermula Januari lalu.

Menurut beliau, GPI akan memperhebatkan lagi program membersihkan kawasan pantai dan menjangkakan kutipan sampah sehingga Disember nanti mencecah 16 tan berbanding 11.45 tan pada tahun lepas.

"Terbaharu, kita akan bekerjasama dengan Bank Rakyat bagi melakukan pembersihan serentak di lima pantai di lima daerah pada 16 Julai ini.

"Lima pantai itu adalah Pantai Kuala Kemaman, Pantai Tanjung Jara, Pantai Angin Berbisik, Pantai Kuala Ibai dan Pantai Pachakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Program pembersihan yang dilakukan di Pantai Jambu Bongkok, Marang. - Foto GPI
Program pembersihan yang dilakukan di Pantai Jambu Bongkok, Marang. - Foto GPI

Zulkefli berkata, peningkatan jumlah sampah yang dikutip itu bukan kerana sikap pengotor pengunjung sebaliknya didorong oleh penambahan sukarelawan dan program gotong-royong diadakan GPI.

Katanya, kesedaran menjaga kelestarian pantai kini meningkat dan pelbagai pihak sama ada sekolah, agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat mahu turut sama membersihkan pantai bersama GPI.

“Sejak dimulakan pada tahun 2017, jumlah kutipan sampah di pantai sebenarnya tidak banyak berubah bagi sesetengah tempat tapi saya berbangga kerana sukarelawan kami semakin meningkat lebih-lebih lagi tahun ini.

“Kebanyakan sampah yang dikutip adalah botol plastik, penyedut minuman, pembungkus makanan, botol kaca, pukat dan tali. Sampah ini akan dilupuskan manakala botol plastik diasingkan dan dihantar ke pusat kitar semula.

“Harapan saya, lebih ramai lagi pihak akan menyertai kami supaya pantai di Terengganu sentiasa bersih. Pantai ini adalah magnet rezeki, apabila pantai cantik dan bersih, ramai orang termasuk dari luar Terengganu datang berkunjung,” katanya.