KSM perkasa 32 institusi TVET, lahir lebih ramai tenaga mahir

Awang Hashim
Awang Hashim
A
A
A

JASIN - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkasa 32 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawahnya termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan memastikan ia dapat diguna pakai sepenuhnya dalam melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, tiada keperluan untuk menambah institusi pengajian di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTK) pada ketika ini kerana jumlah yang sedia ada dilihat mampu menampung permintaan.

"Namun, kementerian akan menumpukan sistem pendidikan TVET dengan kursus-kursus yang sedia ada dalam menyediakan pekerja mahir dan terlatih yang mampu memenuhi pasaran terutamanya dalam sektor pembuatan.

"Buat masa ini juga kita akan penuhkan semua institusi yang ada dan jika ditambah, tetapi tidak digunakan, ia akan membazir kerana selain Kementerian Sumber Manusia terdapat institusi TVET di 11 kementerian lain," katanya ketika ditemui pemberita di Selandar di sini, pada Isnin.

Sebelum itu, beliau hadir pada Majlis Konvokesyen ILP Selandar yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan hadir sama Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem.

Pada majlis itu, Mohd Ali turut menyampaikan sijil dan diploma kepada 249 graduan melibatkan kursus pengajian Diploma Teknologi Perisian (Pengaturcaraan), Sijil Teknologi Komputer (Sistem), Sijil Teknologi Komputer (Rangkaian) dan Sijil Teknologi Minyak dan Gas (Lukisan Perpaipan).

Awang berkata, tenaga kerja mahir akan menjadi aset penting yang dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara.

"TVET diiktiraf sebagai pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur, inklusif serta mampan dan institusi TVET khususnya di bawah Kementerian Sumber Manusia menyahut aspirasi untuk menjadi pemacu bagi melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir berkualiti dan berupaya memenuhi keperluan industri," katanya.

Beliau berkata selain 23 ILP di seluruh negara, institusi TVET di bawah JTK ialah lapan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Japan-Malaysia Technical Institute (JMTI). - Bernama