Seorang wanita antara tiga ditahan bersama 17.3 kg ganja

17.3 kg dadah jenis ganja yang ditemui dalam serbuan Op Igor di Kajang Selangor 24 Jun lalu. - Foto PDRM
17.3 kg dadah jenis ganja yang ditemui dalam serbuan Op Igor di Kajang Selangor 24 Jun lalu. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya dua lelaki dan seorang wanita menerusi Op Igor dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Kajang, Selangor, 24 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sindiket yang didalangi oleh seorang lelaki tempatan itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Pihak polis telah berjaya menangkap seramai dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta merampas sejumlah dadah disyaki jenis ganja seberat 17.3 kilogram (kg) bernilai RM43,200.

"Kejayaan ini adalah hasil siasatan dan risikan yang rapi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Narkotik) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah berbahaya dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM4550, sebuah kereta jenis Honda CRV dan beberapa bentuk barang kemas dianggarkan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM162,750.

"Kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun direman antara satu hingga lima hari bermula 24 Jun bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Dalam perkembangan lain, IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur menahan seramai 229 individu atas pelbagai kesalahan narkotik menerusi Op Tapis Khas Bilangan 4/2022 bermula 21 hingga 23 Jun.

Azmi berkata, operasi tersebut menyasarkan kawasan perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya PPR Desa Tun Razak, PPR Sungai Bonus, PPR Intan Baiduri, Flat Seri Terengganu, serta sekitar Chow Kit di sini dan Putrajaya.

"Daripada jumlah tersebut (229), seramai 11 orang telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah di bawah ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Seramai 21 orang di bawah Seksyen 39c ADB 1952 atas kesalahan mengambil dadah berulang dan 10 orang kerana dikehendaki di bawah pelbagai kesalahan dadah," ujarnya.