[VIDEO] 'Zahid tidak faham, dari formulalah datang penyelesaian' - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Bakal Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas pimpinan UMNO yang disifatkan sebagai kumpulan yang cukup takut terhadap ‘formula’ penyelesaian masalah rakyat yang ditawarkan beliau.

Ia susulan daripada respons balas diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad terhadap kritikan Rafizi berkenaan cadangan UMNO supaya kerajaan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Negara bagi menangani krisis makanan.

Rafizi berkata, alasan diberikan pimpinan UMNO bagi menyangkal kritikannya itu menunjukkan bahawa mereka ketandusan idea untuk mentadbir negara.

“Sebab itu, kenyataan Zahid Hamidi tidak sedikit pun dapat menjawab asas bantahan saya kepada penubuhan lebih banyak lembaga yang menambah birokrasi serta membazirkan wang rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di blognya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau yakin rakyat kini menghargai pimpinan politik yang mampu mengutarakan formula penyelesaian kerana bermula daripada idea tersebut, ia akan menghasilkan penyelesaian diperlukan jika dilaksanakan dengan baik.

Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat formula dicadangkannya sebelum ini telah diguna pakai oleh kerajaan seperti penetapan harga petrol dan berjaya untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga bahan api itu.

Pada masa sama, Rafizi turut mendakwa reaksi ditunjukkan pimpinan UMNO itu juga seolah-oleh menunjukkan mereka bimbang sekiranya politik Malaysia akan bergerak di sekitar idea dan bukannya sentimen perkauman, agama atau kekuasaan.

Dalam pada itu, Rafizi tampil mempertahankan cadangannya berkenaan keperluan supaya kerajaan mewujudkan stok penimbal makanan negara bagi melindungi negara daripada kenaikan harga makanan yang berpunca akibat krisis dari luar negara.

“Ia satu mekanisme yang berpeluang lebih berkesan berbanding dengan bergantung kepada pendekatan kawalan harga barang melalui harga siling semata-mata.

“Sementara ada keperluan dalam industri dan kes tertentu untuk diperkenalkan harga siling (terutamanya untuk mengelakkan kegiatan pencatutan dan mengambil keuntungan yang berlebihan), kaedah harga siling semata-mata tidak berjaya menyelesaikan masalah dalam keadaan gangguan bekalan yang mendadak,” ujarnya.