Durian susu isi putih, rasa premium

Mohd Zain menunjukkan durian susu yang dijual di gerainya di Kampung Rawa, Lenggeng pada Isnin.
Mohd Zain menunjukkan durian susu yang dijual di gerainya di Kampung Rawa, Lenggeng pada Isnin.
A
A
A

NILAI - Durian susu yang terdapat di Kampung Rawa, Lenggeng di sini merupakan antara kategori durian kampung premium yang kini menjadi pilihan penggemar raja buah itu.

Pengusaha kebun durian, Datuk Mohd Zain Maarof, 58, berkata, durian itu diberi nama susu kerana rasanya lemak-lemak manis dan isinya yang berwarna putih seperti susu.

Menurutnya, meskipun warnanya tidak menarik seperti durian musang king atau IOI, tetapi rasanya sedap dan isinya agak tebal.

"Biasanya orang nak beli durian akan cari durian yang berwarna kuning atau oren, tapi saya nak uar-uarkan ada buah durian yang 'rare' (unik) berwarna putih yang rasanya mantap.

"Harganya juga berpatutan dijual antara RM10 ke RM13 sekilogram yang saya rasa ia mampu dibeli oleh orang ramai," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Zain yang mempunyai 4.8 hektar kebun durian di Lenggeng dan Batu Kikir, Jempol berkata, terdapat 20 jenis durian ditanam dikebunnya dan salah satunya ialah durian susu.

Ujarnya, pokok durian itu ditanam oleh arwah ibu bapa dan kini sudah berusia 40 tahun.

Menurutnya, menariknya buah durian susu kerana kulitnya yang agak tebal dan masih elok meskipun selepas tiga hari gugur dari pokok.

"Kalau durian kampung, biasanya selepas tiga hari gugur buah itu akan terbuka, tapi tidak durian susu.

"Bagi saya tak rugi kalau tanam pokok durian susu kerana ia lebih tahan dan yang penting rasanya premium. Cuma durian ini kurang dikenali, " katanya.

Durian susu mempunyai rasa lemak-lemak manis dan setanding dengan durian-durian premium yang lain.
Durian susu mempunyai rasa lemak-lemak manis dan setanding dengan durian-durian premium yang lain.

Sementara itu katanya, terdapat pelbagai jenis durian unik di Lenggeng seperti durian tapak gajah, durian tembaga, durian batang dan durian jantung.

Mohd Zain berkata, dia baru menjenamakan satu jenis durian di kebunnya iaitu DZ9 yang mana ia berpotensi untuk dikomersialkan.

"Sebenarnya durian kampung ini tak kurang hebatnya, cuma ia kurang diketengahkan seperti durian 'klon kayangan' lain yang biasa ada di pasaran"katanya.

Sementara itu, 'pemburu' durian, Aidi Rosli Khalim, 60, berkata, berdasarkan pengamatannya, selain Lenggeng, terdapat beberapa lokasi lain yang mempunyai baka durian susu.

"Saya dapati ia diberi nama susu kerana rasanya yang manis, lemak, berkrim dan sedikit pahit. Tapi kadang-kadang kita akan jumpa elemen kelima iaitu rasanya seperti susu dan vanila.

"Jika durian susu di Muar, Johor rasanya terlalu manis seperti susu pekat manis berbanding di Lenggeng ini, rasanya tidak membosankan dan biasanya sebiji sudah puas untuk dimakan bersama sesi keluarga," katanya.