Polis rekod keterangan peserta 'flash mob' turunkan harga barang

'Flash mob' turunkan harga barang yang diadakan di bulatan Seberang Jaya diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram selepas tidak mendapat permit sah daripada polis.
'Flash mob' turunkan harga barang yang diadakan di bulatan Seberang Jaya diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram selepas tidak mendapat permit sah daripada polis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis telah mengambil keterangan penganjur dan lapan peserta yang terlibat dengan 'flash mob' turunkan harga barang yang diadakan di bulatan Seberang Jaya di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, perhimpunan yang disertai kira-kira 30 peserta itu berlangsung selama 30 minit tanpa mendapat sebarang permit yang sah daripada polis.

Menurutnya, satu laporan diterima berhubung penganjuran perhimpunan itu dan kini polis sedang mengesan baki peserta yang menyertai perhimpunan berkenaan untuk diambil keterangan.

"Sejumlah 13 poster dan satu kain rentang telah dinaikkan oleh peserta perhimpunan yang mendesak kerajaan untuk menurunkan harga barang.

"Perhimpunan ini diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram kerana tidak mengikut prosedur di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Bagaimanapun ia berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, pada Isnin.

Mohd Suhaily berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan haram dianjurkan oleh pihak berkepentingan yang tidak mengambil kira tentang ketenteraman awam.

Katanya, seperti perhimpunan haram yang dilakukan Jumaat lalu di kawasan yang sibuk dan berbahaya boleh mengundang perkara yang tidak diingini bukan sahaja kepada peserta malah mereka yang tidak terlibat dengan perhimpunan itu.