Anak-anak kita terdedah kepada ancaman siber

A
A
A

No Image Caption

Dunia dalam talian telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita dan juga anak-anak kita. Dunia ini pintar, menyediakan peluang untuk belajar, bermain serta bersosial, dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan kemahiran intelektual serta sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Dengan teknologi yang sentiasa berkembang, dunia dalam talian kini boleh diakses dari hampir mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa melalui komputer, telefon bimbit dan peranti elektronik yang lain.

Namun begitu, sehebat mana sekalipun Internet dalam memperkayakan dunia kita, tetap tidak bebas daripada risiko dan ancaman.

Di sinilah keibubapaan siber perlu memainkan peranannya. Kanak-kanak memerlukan bimbingan serta pengawasan ibu bapa dan penjaga untuk membantu mereka memperoleh manfaat daripada dunia dalam talian, dan pada masa yang sama kekal selamat serta bertanggungjawab.

Kanak-kanak mudah terdedah kepada pelbagai ancaman siber ketika mereka melayari internet atau menggunakan platform sosial media.
Kanak-kanak mudah terdedah kepada pelbagai ancaman siber ketika mereka melayari internet atau menggunakan platform sosial media.

Panduan ini disediakan untuk membantu ibu bapa dan penjaga mendalami kemahiran keibubapaan siber dalam dunia digital.

Panduan ini juga akan membantu ibu bapa melibatkan diri dalam kehidupan dalam talian anak-anak mereka serta menetapkan peraturan dan norma yang berkaitan untuk melindungi mereka.

Kanak-kanak yang sedang berkomunikasi dalam talian terdedah kepada pelbagai ancaman yang boleh membahayakan diri mereka sendiri, rakan serta keluarga mereka.

Ibu bapa perlu sedar bahawa kanak-kanak bukan sahaja berisiko untuk menjadi mangsa ancaman siber, tetapi mereka juga mungkin boleh membahayakan dan menyakiti orang lain, sama ada secara sengaja atau sebaliknya.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang risiko ini dan membimbing mereka untuk membuat pilihan yang selamat dan bertanggungjawab ketika melakukan aktiviti dalam talian.

Ancaman Siber Dalam Kalangan Kanak-Kanak

No Image Caption

Seksual

i. Antun seksual – pemangsa menghendap atau berkawan dengan mangsa untuk melakukan aktiviti seksual atau pornografi.

ii. Menerima atau terlibat dalam gangguan seksual.

iii. Mencari hubungan seks dengan orang dewasa atau remaja lain.

iv. Hantaran seks (sexting) – terlibat dengan perbualan dalam talian yang berkaitan dengan teks dan imej berbaur seksual yang bersifat provokatif.

Perisian hasad/Virus/Penipuan

v. Dijangkiti atau menjangkiti orang lain dengan virus komputer yang boleh merosakkan komputer/peranti.

vi. Memancing data (phishing) – diperdaya oleh penipuan atau laman palsu yang cuba mendapatkan maklumat sensitif, seperti nama pengguna, kata laluan dan butiran kad kredit (serta akaun bank), biasanya dengan niat jahat yang boleh menyebabkan kehilangan wang dan kecurian data.

Buli siber

Menjadi sasaran atau memprovokasi orang lain menggunakan kandungan dalam talian yang mendatangkan keburukan atau menyakitkan hati.

Pencurian Identiti

Kehilangan atau kecurian data peribadi atau akaun media sosial.

Permainan Dalam Talian

Penglibatan yang keterlaluan dalam permainan dalam talian, terutamanya permainan ganas.

Perjudian dalam talian

Terlibat dengan permainan dalam talian berasaskan perjudian atau perjudian dalam talian sebenar.

Ketagihan Internet

Kecelaruan kompulsif disebabkan oleh penggunaan Internet secara berlebihan yang menjejaskan kehidupan normal.

Pelanggaran hak cipta

Menyalin atau menyebarkan karya hak cipta orang lain dengan cara yang tidak wajar.

Pengaruh Negatif (Komuniti)

Berinteraksi dengan komuniti yang boleh mempengaruhi anak-anak terlibat dengan gejala negatif seperti mencederakan diri, perlakuan ganas serta kumpulan remaja bermasalah.

Tanggungjawab keluarga menyediakan kemudahan siber selamat

No Image Caption

Kajian Asas Kesedaran Keselamatan Siber Kebangsaan mendedahkan bahawa lebih daripada 80 peratus kanak-kanak di Malaysia paling kerap menggunakan Internet di rumah berbanding dengan di sekolah dan di tempat lain.

Sehubungan itu, keibubapaan siber memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku dan etika dalam talian bagi kanak-kanak.

Keibubapaan siber melibatkan ibu bapa yang mendidik anak-anak agar memahami risiko dalam talian serta cara mengamalkan kemahiran dalam talian yang selamat di rumah.

Untuk lebih berkesan, ibu bapa perlulah mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat untuk keluarga.

Terdapat beberapa amalan asas terbaik yang boleh diamalkan bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat bagi keluarga anda:

- Pastikan penggunaan komputer dan peranti di ruang tamu terbuka supaya anda dapat memantau aktiviti dalam talian anak-anak dan memastikannya tidak mengganggu waktu tidur atau waktu belajar mereka.

- Tetapkan mod carian selamat pada pelayar.

- Muat turun dan menetapkan aplikasi pemantauan

- Menetapkan tetapan peribadi media sosial.

- Menetapkan had masa bagi penggunaan Internet.

- Memasang perisian antivirus.

- Mendidik anak-anak anda untuk merahsiakan kata laluan mereka daripada orang yang tidak dikenali.

sumber: Risalah Keibubapaan Siber (Cyber Security Malaysia & Kementerian Komunikasi dan Multi Media)

Artikel Disyorkan