Hanya silat boleh satukan Melayu, bukan politik

Zainol Fadzi (hadapan, tengah) bersama pimpinan dan ahli GPMS Perak, Pesaka Perak serta Serantau Perak ketika hadir ke program Tontonan Filem Mat Kilau di Ipoh Parade pada Ahad.
Zainol Fadzi (hadapan, tengah) bersama pimpinan dan ahli GPMS Perak, Pesaka Perak serta Serantau Perak ketika hadir ke program Tontonan Filem Mat Kilau di Ipoh Parade pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Perak menyifatkan hanya seni silat mampu menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berpandangan, medium politik ketika ini tidak mampu menyatukan orang Melayu.

"Saya terlibat agak lama dalam silat. Di mana-mana pun saya bercakap, kalau nak tengok orang Melayu bersatu, tengok silat. Kalau dalam silat pun orang Melayu tak boleh bersatu berhenti.

"Kalau bersatu sebab dalam politik, sudah tak ada harapan. Hanya silat yang tinggal untuk menyatukan orang Melayu," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui pada program Tontonan Filem Mat Kilau anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Perak bersama Pesaka Perak dan Serantau Perak, di Ipoh Parade pada Ahad.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, filem sejarah kepahlawanan seperti Mat Kilau perlu diperbanyakkan untuk mengingatkan orang Melayu supaya bersatu dan mengembalikan semangat mempertahankan agama serta tanah air.

Menurutnya, generasi pada hari ini mempunyai tanggungjawab besar memastikan generasi akan datang dalam keadaan selamat, aman dan damai.

Pada program tersebut seramai kira-kira 125 orang daripada GPMS Perak, Pesaka Perak dan Serantau Perak yang hadir ke program berkenaan.

Filem Mat Kilau yang diarahkan pengarah terkemuka, Syamsul Yusof mencatat kutipan RM11 juta pada hari keempat tayangan setakat jam 9 malam pada Ahad.

Filem terbitan Studio Kembara itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan, Johan As'ari dan ramai lagi.