Sila log masuk terlebih dahulu.

Aktiviti 'rope swing' di Jambatan Pertak tiada kebenaran operasi

Sitaan kon di lokasi aktiviti sukan lasak 'rope swing' di Jambatan Pertak, Hulu Selangor pada Jumaat.
Sitaan kon di lokasi aktiviti sukan lasak 'rope swing' di Jambatan Pertak, Hulu Selangor pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Pengendali aktiviti sukan lasak hayunan tali tinggi atau rope swing di Kuala Kubu Bharu di sini diarah henti operasi sehingga memenuhi segala syarat yang ditetapkan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd berkata, sehingga kini tiada sebarang kelulusan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor bagi penggunaan Jambatan Pertak untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Menurutnya, MPHS juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran atau kelulusan lesen untuk aktiviti berkenaan.

"Bagaimanapun, pihak MPHS menyarankan pihak operator untuk mendapatkan kebenaran melakukan aktiviti daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan beberapa syarat lain yang perlu diikuti bagi membolehkan aktiviti sukan tersebut dijalankan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Operasi bersepadu aktiviti 'rope swing' di Jambatan Pertak, Hulu Selangor oleh MPHS bersama agensi berkaitan pada Jumaat.
Operasi bersepadu aktiviti 'rope swing' di Jambatan Pertak, Hulu Selangor oleh MPHS bersama agensi berkaitan pada Jumaat.

Pada Jumaat, MPHS bersama JKR Hulu Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hulu Selangor telah menjalankan operasi bersepadu ke atas syarikat yang mengendalikan aktiviti sukan lasak tersebut.

Mohd Hasry berkata, operasi itu dijalankan selepas MPHS mendapat aduan berkenaan aktiviti sukan tersebut yang masih beroperasi walaupun masih tidak mendapat kebenaran daripada mana-mana agensi yang berkaitan

"Semasa tiba di lokasi, anggota operasi mendapati tiada sebarang aktiviti sukan rope swing dijalankan namun terdapat satu kabin serta beberapa peralatan sukan rope swing berada di atas Jambatan Pertak yang menutupi sebahagian daripada laluan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Pengurus syarikat berkenaan turut hadir semasa operasi dijalankan dan telah dimaklumkan kesalahan yang dilakukan. Pihak syarikat akur dan akan menghentikan operasi sehingga memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Katanya, MPHS menyita 73 unit kon dan 34 unit halangan plastik serta kompaun di bawah Akta Kerajaan Tempatan seksyen 46(1)(a) akta 133 kerana meletakkan apa-apa barang yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.