Sila log masuk terlebih dahulu.

London destinasi baharu Jesus

Gabriel Jesus
Gabriel Jesus
A
A
A

JUARA Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan Arsenal akhirnya mencapai kata sepakat yang menyaksikan Gabriel Jesus menandatangani kontrak lima tahun bersama dengan sensasi London utara asuhan Mikel Arteta tersebut.

Menurut laporan, perjanjian awal bernilai 45 juta pound itu menyaksikan bintang Brazil tersebut kembali bersama Arteta yang pernah menjadi pembantu Pep Guardiola semasa di Stadium Etihad sebelum ini.

Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini menjadi pilihan penyerang nombor satu Arteta ketika pengendali dari Sepanyol tersebut berusaha mengantikan posisi yang dikosongkan Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette.

Jesus, yang mempunyai baki setahun dalam kontrak bersama The Citizens juga menarik perhatian Chelsea dan Tottenham Hotspur semasa jendela perpindahan pemain kali ini.

Namun tonggak Brazil itu memilih untuk melepaskan slot beraksi di Liga Juara-Juara untuk menjadi tumpuan baharu iaitu memantapkan bahagian serangan Arsenal.

Difahamkan pemain yang menyertai Manchester City dari Palmeiras pada 2016 dengan bayaran 27 juta pound akan memperoleh pendapatan dalam lingkungan 190,000 pound seminggu.

Sepanjang menyarung jersi The Citizens, Jesus, telah menjaringkan 58 gol dalam 159 perlawanan EPL serta memenangi gelaran empat kali, akan menjadi pemain keempat Arsenal pada musim panas.

Arteta sebelum ini sudah pun menambah baik The Gunners dengan merekrut Marquinhos, penjaga gol Matt Turner dan pemain tengah, Portugal Fabio Vieira.

Artikel Berkaitan:

Arteta dan Pengarah Teknikal Arsenal, Edu kini mengalihkan perhatian kepada rakan sepasukan antarabangsa Jesus, Raphinha dari Leeds United, dalam misi memperkukuhkan lagi skuad Arsenal menjelang musim 2022-23.

Jesus telah menjaringkan 95 gol dalam 236 penampilan untuk Manchester City, namun gagal meraih kepercayaan Guardiola membarisi kesebelasan utama pasukan selepas pemergian Sergio Aguero.

Malah ketibaan Erling Haaland dan Julian Alvarez dijangka menyaksikan pemain tersebut akan terus disisihkan dari penampilan bersama kelab.