Sila log masuk terlebih dahulu.

Terkenal lokasi raja buah, Balik Pulau kini miliki studio seramik

Bekas pensyarah Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Shamsu Mohamad menunjukkan hasil karyanya daripada tanah liat dipamerkan di Sila Studio di sini. - Foto Bernama
Bekas pensyarah Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Shamsu Mohamad menunjukkan hasil karyanya daripada tanah liat dipamerkan di Sila Studio di sini. - Foto Bernama
A
A
A

BALIK PULAU - Balik Pulau yang terletak di daerah barat daya, Pulau Pinang bukan sahaja terkenal sebagai destinasi untuk menikmati raja buah, kini suasana kawasan kampung di sini turut menawarkan satu lagi tarikan, studio pameran barangan seramik hasil tangan Dr Shamsu Mohamad.

Minat dan kesungguhan telah mendorong bekas pensyarah Pusat Pengajian Seni di Universiti Sains Malaysia (USM), membuka galeri pameran yang dinamakan 'Sila Studio' untuk menterjemahkan hasil karyanya.

Shamsu, 60, berkata Sila Studio yang dibuka sejak September 2014 diambil daripada perkataan 'sila' yang membawa maksud selamat datang selain lebih 'mesra' didengar dan diingati.

"Sila Studio membawa satu transformasi terhadap kegunaan tanah liat yang mampu menghasilkan objek kontemporari yang jarang dilihat dan selain mempamerkannya, saya juga menerima pelajar yang berminat untuk belajar teknik-teknik menghasilkan objek dengan seramik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Antara barangan yang dipamerkan di Sila Studio adalah bekas menyimpan barang, kasut, fridge magnet, pin tudung, hiasan rumah, pinggan mangkuk, cengkerang, sayur-mayur, perkakas dapur dan sebagainya.

Shamsu yang sudah lebih 32 tahun dalam industri ini dan telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa berkata antara hasilnya yang banyak menerima perhatian adalah objek kontemporari yang jarang dilihat antaranya ialah kasut sekolah berwarna putih yang diperbuat daripada seramik.

Beliau berkata kasut itu dihasilkan untuk menyertai pameran bertema Earthworks atau metafora yang digunakan bagi menggambarkan kehidupan manusia, di Galeri Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada tahun 2014.

"Saya mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk membuat kajian...kasut sekolah (berwarna) putih ini telah berjaya dihasilkan dalam tempoh tujuh bulan dengan menggunakan porselin dan karya itu telah dibeli oleh penganjur pameran dengan nilai RM15,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsu berkata hasil karyanya itu telah diberi tajuk 'Perjalanan' atau The Journey sebagai metafora alam persekolahan kerana di situlah manusia melalui proses pembelajaran seawal usia mereka.

"Kasut sekolah yang dipakai saban hari memandu pelajar ke sekolah untuk menggali ilmu pengetahuan buat bekalan kehidupan. Pelbagai peristiwa pahit dan manis yang ditempuhi pelajar di alam persekolahan. Ada yang tercapai dan ada yang sebaliknya," katanya.

Jelasnya, kasut sekolah juga adalah refleksi si pemakainya kaya dan miskin, pembersih dan pengotor, aktif dan pasif.

Shamsu berkata seni seramik tradisional ini lebih kepada kegunaan praktikal manakala seni seramik moden pula lebih kepada bentuk luaran yang teguh dan tersendiri.

"Ia memiliki kebebasan tidak terkongkong, di samping memberi penekanan kepada usaha artis untuk bereksperimen dalam menggunakan tanah liat dan sepuhan.

"Seni dan budaya merupakan industri yang mempunyai masa depan dan berpotensi menjana pendapatan negara yang lebih tinggi sekiranya diusahakan tanpa jemu," katanya.

Sila Studio yang terletak di Pusat Inkubator Kraftangan Balik Pulau dibuka secara percuma kepada orang ramai pada 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad yang memerlukan temu janji terlebih dahulu. - Bernama