Sekolah perlu setiap hari ingatkan kesan buli

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KISAH buli terutamanya membabitkan pelajar sekolah di Malaysia seakan-akan tiada titik penyelesaian apabila insiden itu dilaporkan terus berlaku, meskipun pelbagai hukuman dan tindakan dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah kerana membuli.

Terbaru, seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua cedera akibat dipukul sekumpulan pelajar senior. Mereka turut menggunakan seterika panas dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Teluk Intan, Perak, Khamis lalu.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar perempuan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, siasatan awal mendapati mangsa dicederakan oleh seramai 10 pelajar senior berusia 16 hingga 17 tahun semasa berada di asrama sekolah.

Katanya, seorang daripada suspek telah membawa mangsa ke bilik asrama dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai termasuk mencederakan menggunakan seterika panas pada badan.

Kejadian buli itu mengimbau kembali insiden buli menyayat hati melibatkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang ketika itu sedang mengikuti pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Mangsa meninggal dunia akibat didera termasuklah dengan tekapan seterika wap oleh sekumpulan penuntut universiti sama.

Bagaimanapun, tahun lalu, keadilan untuk Kadet Laut UPNM yang menjadi mangsa buli itu berjaya diperoleh apabila enam penuntut universiti tersebut didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Sepatutnya, kisah Allahyarham Zulfarhan ini dijadikan iktibar kepada semua pihak tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, apabila ‘teknik’ buli diambil dan digunakan untuk melakukan perkara sama kepada pihak lain pula.

Baru-baru ini, Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) menggesa supaya akta khusus bagi menangani kesalahan buli dalam kalangan pelajar sekolah perlu diwujudkan secepat mungkin.

Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, ketika ini tidak ada sebarang undang-undang khusus kepada jenayah itu dan tindakan perundangan membabitkan kesalahan berkenaan hanya diambil menerusi peruntukan Kanun Keseksaan.

Selain itu, Aswa turut mencadangkan kerajaan meneliti tugas warden agar liabiliti pihak sekolah yang gagal atau cuai memantau kejadian buli dapat dielakkan.

Berbalik kepada jenayah buli berlaku di sekolah yang bagaikan tiada kesudahan ini, siapakah sebenarnya yang harus dipersalahkan atau paling utama perlu bertanggungjawab?

Ramai yang melihat, pengurusan sekolah yang terlibat secara langsung dalam pengurusan asrama adalah pihak yang sepatutnya mengambil tanggungjawab utama dalam menyelesaikan isu ini.

Benar, sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara umumnya dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing tetapi kedua-dua pengurusan itu tidak ‘bersama’ dalam pengurusan sekolah dan asrama.

Isu buli ini, bukan isu baharu tetapi ia telah berlanjutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian yang konkrit.

Malah, tidak dinafikan, ada ibu bapa yang trauma untuk menghantar anak-anak tinggal di asrama kerana bimbangkan masa depan anak yang mungkin bila-bila masa sahaja boleh menjadi mangsa buli.

Kes buli ini bukan sahaja berlaku di asrama sekolah harian biasa tetapi lebih parah lagi ia turut dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh dan sekolah ternama lain.

Jelaslah, buli ini bukan lagi sinonim dengan pelajar sekolah ‘kurang pandai’ tetapi ia boleh berlaku di mana-mana sekolah dan mampu mendatangkan risiko kepada mana-mana pelajar sekali pun.

Buat semua pengurusan sekolah, lihatlah isu buli ini sebagai perkara yang besar sama seperti kesalahan jenayah lain kerana budaya buli ini tidak boleh dianggap ‘normal’ tetapi ia perlu dilihat sebagai satu kesalahan berat.

Jangan lagi menganggap buli ini kesalahan kecil dan seharusnya disembunyikan demi menjaga nama baik sekolah kerana nyawa dan keselamatan pelajar adalah paling penting.

Sekolah sepatutnya memberikan peringatan setiap hari kepada pelajar tentang kesan buli kepada masa depan mereka.

Justeru, jenayah buli tidak boleh dibiarkan berlarutan dan semua pihak perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha untuk menghentikan jenayah buli membabitkan pelajar sekolah ini.

* Nurul Huda Husain ialah Wartawan Sinar Harian