Sila log masuk terlebih dahulu.

Sejauh mana benarnya hashtag #susahsenangbersamarakyat

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A

PERKARA yang paling banyak dibangkitkan dan menjadi tumpuan ketika ini adalah berkenaan kos sara hidup yang dikatakan semakin meningkat.

Lebih-lebih lagi apabila ada rakan yang memberitahu, belum pun 1 Julai tetapi sudah ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Pelbagai alasan boleh diberikan oleh peniaga. Itu naik, ini naik, lalu mereka tiada pilihan.

Namun, kasihan juga dengan peniaga. Mereka terpaksa menaikkan harga barang kerana tersepit. Adat berniaga tentulah nak untung walaupun sedikit.

Menyentuh mengenai untung dan rugi ini, pada suatu pagi terbaca di media sosial hashtag #susahsenangbersama.

Ya, betullah, ketika semua pihak sudah mula berkira-kira untuk menaikkan harga barang jualan, sangat perlu untuk kita sama-sama bantu-membantu antara satu sama lain.

Biarlah kita sama-sama susah dan senang dalam zaman yang semakin mencabar ini.

Suara Sinar tertarik dan berterima kasih dengan cadangan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz supaya gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri dipotong sebanyak 20 peratus. Itu merupakan cadangan yang amat baik untuk membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

Biarlah rakyat menilai kebaikan budi yang dipamerkan dan melihat sendiri pengorbanan yang dilakukan oleh para pemimpin masa kini.

Barulah pemimpin dan rakyat, ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa. Barulah boleh buat hashtag #susahsenangbersamarakyat. Kan cantik tu.

Lagipun bagi mereka yang berpendapatan tinggi, jumlah 20 peratus tersebut apalah sangat.

Jika cadangan Rafidah tersebut diterima sebulat suara, barulah kena dengan hashtag #susahsenangbersama.

Tak adalah rakyat dakwa pemimpin masa kini nampak muka ketika menjelang pilihan raya sahaja.

Sanggup turun padang, berpanas, berhujan, meredah bukit bukau, naik turun sampan, bertemu warga emas dan orang-orang sakit, hulur bantuan sambil memanggil media membuat liputan.

Namun sedihnya apabila rakyat kesempitan, kadangkala tiada pertolongan diberikan.

Oleh itu, satu persoalan yang perlu dijawab, sanggupkah pemimpin susah senang bersama rakyat? Atau rakyat masih kekal dengan hashtag #rakyatjagarakyat.

Buktikanlah dengan perbuatan dan bukan hanya cakap-cakap kosong di warung kopi.