Lafaz cerai di laman sosial: Netizen digalak lapor pejabat agama

Idris ketika berucap pada program Multaqa Murabbi Ummah di Seri Mentaloon pada Ahad.
Idris ketika berucap pada program Multaqa Murabbi Ummah di Seri Mentaloon pada Ahad.
A
A
A
ALOR SETAR - Netizen diminta melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sekiranya mengesan sebarang perbuatan yang menyalahi perundangan agama Islam, khususnya yang disiarkan di media sosial.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, keghairahan umat Islam menggunakan saluran media sosial sehingga melafazkan cerai secara siaran langsung menerusi Facebook dan seumpamanya perlu dibendung bagi mengelak timbulnya keraguan.

Menurutnya, kemungkinan ia berlaku disebabkan kejahilan individu terlibat dan perkara itu boleh dilapor kepada JAIN masing-masing untuk siasatan dan tindakan.

“Sekiranya terdapat kes-kes seperti ini, netizen sebenarnya boleh melaporkan dan jangan tunggu pihak penguat kuasa agama bertindak. Kadang-kadang hanya terdapat seorang kadi di daerah menyebabkan ia terlepas pandang.

“Laporkan supaya pejabat agama boleh ambil tindakan, insya-ALLAH. Kita bimbang perkara seumpama seterusnya menyebabkan berlaku perkara yang tidak elok,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir program Multaqa Murabbi Ummah yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon pada Ahad.

Idris berkata demikian bagi mengulas kes membabitkan pasangan DJ Wong dan DJ Sal yang pernah mencetuskan kontroversi kerana kisah kehilangan dan perceraian mereka kembali bersiaran secara dalam talian di Facebook sejak Ahad lalu.

Pasangan terbabit kembali tinggal bersama sejak Aidilfitri lalu selepas DJ Wong pulang ke rumah mereka dalam keadaan keliru sejurus tiga hari melafazkan cerai melalui rakaman video di Facebook.

Mengulas lanjut, Idris berkata, sewajarnya perkara yang menimbulkan keraguan dilaporkan agar pihak berkuasa agama negeri dapat meneliti isu dan memanggil pihak yang terlibat.

“Sekiranya kita tahu kejadian berlaku di mana, boleh lapor terus kepada JAIN, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya menumpu kepada apa yang disiarkan dalam media sosial.

“Contohnya, kes yang berlaku di Perak, kita akan rujuk Jabatan Agama Islam Negeri Perak untuk diambil tindakan. Benda-benda yang mengelirukan kita akan minta supaya buat penyelidikan kes, seperti kes melibatkan tenaga pengajar luar yang disiarkan dalam YouTube, mungkin kita tak boleh ambil tindakan tetapi melalui SKMM untuk menyekat penyiaran,” ujarnya lagi.

Idris bagaimanapun menyifatkan kejahilan individu dalam soal agama antara punca menyebabkan mereka terdorong melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

“Mungkin bukan niat mereka untuk mempermainkan isu agama, mungkin kejahilan mereka yang anggap benda seperti itu adalah perkara biasa.

“Disebabkan itu kita harapkan pihak berkuasa agama panggil individu terlibat bagi mengesahkan status dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris tegaskan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang giat memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah agar kes-kes yang tertunggak dapat diselesaikan dalam tempoh yang sewajarnya.

“Baru-baru ini saya telah pun hidupkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah yang terhenti fungsinya pada 2018. Ia akan dikelolakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Islam (JKSM). Ahli jawatankuasa ini bertanggungjawab membuat kajian, cadangan dan syor secara holistik kepada kerajaan untuk perkasakan Mahkamah Syariah,” katanya.

Menurutnya, diharapkan agenda besar ini disambut baik oleh negeri-negeri termasuklah Kedah.

“Kita akan melihat beberapa perkara yang mungkin perlu ditambah baik. Kita harapkan pihak negeri boleh kemukakan aspek-aspek yang perlu dilakukan penambahbaikan. Ini kerana ia bawah bidang kuasa negeri, JAKIM hanyalah sebagai pembimbing dan berikan panduan saja,” katanya lagi.