Sila log masuk terlebih dahulu.

'Semua pihak perlu bersedia dengan perubahan' - Amirudin

Amirudin (tengah) melawat reurai di Laman MBPJ.
Amirudin (tengah) melawat reurai di Laman MBPJ.
A
A
A

PETALING JAYA - Konsep bandar berdaya tahan atau 'resilient city' hanya akan dapat dicapai apabila semua pihak bersedia dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, banyak perkara perlu dilakukan yang memerlukan kerjasama erat daripada komuniti khususnya dalam soal menjaga keselamatan.

"Jadi banyak perkara harus dibuat, saya ingatkan perlu ada kerjasama erat tidak boleh lepaskan tanggungjawab keselamatan kepada badan pihak berkuasa sahaja.

"Kita tidak boleh menyerahkan isu keselamatan kepada polis sahaja tapi semua pihak harus bersedia dan bekerjasama untuk menangani permasalahan dan isu (komuniti) dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) dan Majlis Penyampaian Lesen Perniagaan di Laman MBPJ di sini pada Ahad.

Amirudin menyerahkan sumbangan kepada 126 penerima PKKPJ terdiri daripada Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di Petaling Jaya.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Azhan (tengah) mengiringi Amirudin (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil PKKPJ
Mohamad Azhan (tengah) mengiringi Amirudin (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil PKKPJ

Sementara itu, Mohamad Azhan berkata, PKKPJ merupakan salah satu usaha berterusan MBPJ di bawah hala tuju 'Safe & Resilient City' yang bertujuan memperkasa komuniti.

Menurutnya, ia selaras dengan hasrat untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah Bandaraya Pintar, Mampan Dan Berdayatahan bertepatan dengan Pelan Strategik PJ Smart, Sustainable And Resilient 2030 (PJSSR 2030).

Katanya, program diperkenalkan pada 2011 itu merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Induk Keselamatan Petaling Jaya bertujuan untuk mewujudkan kejiranan selamat dengan menggalakkan penglibatan persatuan penduduk dan rukun tetangga dalam program-program keselamatan di kawasan kejiranan masing-masing.

"Program berkonsepkan 'public engagement' ini telah menampakkan kematangannya setelah mencapai penubuhan selama tempoh 11 tahun melalui kaedah pemprosesan permohonan dan pelaporan dibuat secara atas talian.

"Tahun ini, MBPJ telah menerima sebanyak 139 permohonan daripada jumlah tersebut sebanyak 83 permohonan daripada Persatuan Penduduk, 25 permohonan daripada Rukun Tetangga dan sebanyak 31 permohonan daripada JMB," katanya.

Katanya lagi, MBPJ turut melaksanakan penambahbaikan beberapa aspek termasuklah penjenamaan semula nama program, kriteria permohonan, tatacara permohonan, kaedah permohonan dan lain-lain yang berkaitan PKKPJ.

"Kini program PKKPJ ini telah diberi nafas baharu dan dikenali sebagai "Petaling Jaya Safety Neighbourhood Team (PJSNT)," tambahnya.