194 serbuan narkotik di pusat hiburan seluruh negara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 194 serbuan pusat hiburan di seluruh negara pada tahun ini dengan rampasan pelbagai jenis dadah.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, statistik sehingga Jun itu telah merekodkan 449 kes dengan tangkapan 504 orang serta rampasan 9.2 kilogram (kg) dadah dan 450 liter cecair dadah.

Menurutnya, daripada jumlah terbabit, 55 serbuan telah dilaksanakan di Kuala Lumpur.

"Serbuan di ibu negara berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 5.1 kg, 450 liter cecair dadah dan 160 orang berjaya ditahan.

"Tindakan telah diambil daripada pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Ahad bagi mengulas kenyataan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berkenaan senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah sintetik di ibu negara.

Dalam pada itu, tambah Noorsiah, bagi mencegah kegiatan maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah melaksanakan Op Noda di lokasi sasaran seperti rumah urut, hotel dan pusat hiburan.

Katanya, 995 serbuan dijalankan sepanjang tempoh empat bulan sejak Januari tahun ini di seluruh negara.

"Seramai 2,948 orang yang terlibat dalam kegiatan pelacuran dan pusat hiburan talah ditahan.

"Di Kontinjen Kuala Lumpur sahaja, 420 serbuan telah dilaksanakan membabitkan 1,115 tangkapan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihak polis menerusi Op Bersepadu bersama lain-lain jabatan PDRM berjaya menahan 177 individu.

"Dalam usaha membantera aktiviti haram, PDRM sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang mengiklankan kegiatan persundalan.

"Polis juga turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) bagi memantau sesawang internet," katanya.

Jelasnya, PDRM terbuka untuk menerima sebarang maklumat aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"Masyarakat dialukan untuk bekerjasama untuk menyalurkan maklumat di Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222 manakala bagi maklumat berkenaan aktiviti maksiat boleh disalurkan melalui emel Bahagia D7 JSJ di jsjd7_maksiat@rmp.gov.my," ujarnya.