Ramai enggan jalani saringan kanser prostat, payudara

Faktor segan dan tidak biasa dengan saringan kanser prostat dan payudara yang memerlukan prosedur sentuhan merupakan antara alasan ramai enggan menjalani saringan kesihatan berkenaan. - Foto 123RF
Faktor segan dan tidak biasa dengan saringan kanser prostat dan payudara yang memerlukan prosedur sentuhan merupakan antara alasan ramai enggan menjalani saringan kesihatan berkenaan. - Foto 123RF
A
A
A

REMBAU - Faktor segan dan tidak biasa dengan saringan kanser prostat dan payudara yang memerlukan prosedur sentuhan merupakan antara alasan ramai enggan menjalani saringan kesihatan berkenaan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian Kementerian Kesihatan (KKM), terdapat kecenderungan dalam kalangan rakyat yang hanya akan menjalani pemeriksaan di klinik selepas dikesan mempunyai penyakit dan mentaliti itu perlulah diubah.

"Apabila diterangkan bahawa saringan itu memerlukan sentuhan pada tubuh badan dan tempat tertentu, mereka tak beri kebenaran terutama dalam kalangan individu yang agak berumur, sedangkan kita tahu kanser prostat dan payudara antara paling tinggi di Malaysia.

"Justeru, kita perlu beri penekanan dan fikir bagaimana untuk meyakinkan pesakit agar bagi kebenaran (saringan) dan untuk mengatasi itu sensitiviti itu selain meningkatkan kesedaran melakukan saringan kesihatan," katanya selepas menghadiri program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhan terdapat hampir enam juta rakyat Malaysia layak menerima manfaat di bawah program PeKa B40 dan daripada jumlah itu, hanya 620,000 individu disaring sejak 2019.

Di Negeri Sembilan pula, Khairy berkata, sejak ia mula dilancarkan pada April 2019 hingga 20 Jun lepas, seramai 245,601 individu layak mendapatkan saringan kesihatan percuma di bawah program itu, namun hanya 35,893 individu (14.6 peratus) berbuat demikian.

"Faktor utama kita adakan program hari ini, selaras dengan sasaran ProtectHealth bagi menyaring seramai 8,094 rakyat negeri ini pada tahun ini...saya juga minta program outreach ini ditingkatkan supaya akses kesihatan dilaksanakan dengan lebih mudah tanpa mereka perlu ke klinik atau hospital," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada individu yang layak menerima manfaat daripada program itu agar mengunjungi klinik berdekatan yang berdaftar dengan ProtectHealth bagi menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Beliau berkata, KKM juga akan melancarkan inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) pada bulan depan bertempat di Ipoh, Perak dengan sasaran menarik 1.5 juta individu yang tidak pernah menjalani saringan kesihatan sebelum ini.

Beliau berharap melalui inisiatif berkenaan, ia akan dapat mengubah sikap masyarakat agar menjadikan saringan kesihatan sebagai rutin dan tidak menunggu hanya setelah dikesan berpenyakit. - Bernama