Fitness Hunt Challenge perkukuh pasukan MAFI

Sebahagian peserta yang menyertai MAFI Squid Game Fitness Hunt Challenge selama tiga hari bermula 24 Jun di Pulau Bidong, Terengganu.
Sebahagian peserta yang menyertai MAFI Squid Game Fitness Hunt Challenge selama tiga hari bermula 24 Jun di Pulau Bidong, Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (PSM) dan Kelab MAFI menganjurkan MAFI Squid Game Fitness Hunt Challenge selama tiga hari bermula 24 Jun di Pulau Bidong.

Program rekreasi julung kali diadakan itu disertai oleh 50 peserta terdiri daripada Exco dan Ahli Kelab MAFI termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Badrul Hisham Mohd, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Habshah Ali dan Setiausaha Bahagian PSM, Noor Azlin Mohammad Shamsudin.

MAFI dalam satu kenyataan berkata, antara pengisian menarik program adalah pelbagai sukan rekreasi yang boleh mengeratkan hubungan sesama peserta seperti aktiviti kerja berpasukan, treasure hunt, water confidence, snorkeling dan discovery scuba.

“Peserta turut didedahkan dengan pengalaman pelatih berhubung aspek keselamatan aktiviti air.

“Pelbagai aktiviti team building turut dilaksanakan sepanjang program ini, sekaligus meningkatkan tahap saling kepercayaan (trust) dan saling bekerjasama (teamwork) dalam kalangan ahli kumpulan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengendalian program diketuai oleh Baharim Mustapa bersama pasukannya di Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong.

Peserta melakukan pelbagai sukan rekreasi sepanjang tiga hari MAFI Squid Game Fitness Hunt Challenge bermula 24 Jun di Pulau Bidong, Terengganu.
Peserta melakukan pelbagai sukan rekreasi sepanjang tiga hari MAFI Squid Game Fitness Hunt Challenge bermula 24 Jun di Pulau Bidong, Terengganu.

Katanya, Pulau Bidong yang menjadi lokasi program ini pernah diisytihar sebagai pusat penempatan orang hanyut Vietnam pada Ogos 1978 hingga November 1991 dan sepanjang tempoh itu, seramai 252,390 orang pernah berlindung di pulau tersebut sebelum berpindah ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Australia.

“Pulau yang pernah menjadi saksi kisah kesengsaraan dan penderitaan mangsa perang kini dibangunkan sebagai Pusat Penyelidikan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” katanya.

Untuk rekod, Kelab MAFI ditubuhkan pada tahun 1982 bertujuan memupuk semangat kerjasama berpasukan dan mengukuh silaturahim di antara warga MAFI melalui penganjuran program dan aktiviti berbentuk kebajikan, sukan, rekreasi, sosial, ekonomi, pendidikan, kerohanian dan lain-lain.

Antara objektif penubuhan kelab ini adalah untuk memupuk kesatuan dan semangat kekitaan serta budaya kebersamaan, melahirkan warga yang sihat, cergas dan pintar serta sentiasa bersedia bertindak dalam apa jua situasi bagi menjayakan misi MAFI selain mencungkil bakat serta menyemai sifat kepimpinan unggul dalam kalangan warga MAFI.

Kelab ini berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan bernaung sebagai Kelab Gabungan di bawah Kelab Kebajikan dan Sukan Anggota Perkhidmatan Awam Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur (MAKSWIP).