Ibu, anak perempuan rentung rumah banglo terbakar

Seorang ibu dan anaknya rentung dalam kebakaran sebuah banglo di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, KL, awal pagi Ahad. - Foto Bomba KL
Seorang ibu dan anaknya rentung dalam kebakaran sebuah banglo di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, KL, awal pagi Ahad. - Foto Bomba KL
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas bersama anak perempuannya ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo di Taman Gembira di sini pada Ahad.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Musa Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran pada jam 6.22 pagi.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dibantu anggota dari BBP Hang Tuah, BBP Sri Petaling dan BBP Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 6.32 pagi.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo empat tingkat berkeluasan 80x70 kaki persegi dan anggaran kemusnahan kebakaran di tingkat satu adalah 100 peratus manakala di tingkat dua 50 peratus," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kedua mangsa ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo di Taman Gembira pada Ahad. - Foto Bomba KL
Kedua mangsa ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo di Taman Gembira pada Ahad. - Foto Bomba KL

Musa berkata, anggota bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan kaedah 'offensive fire figthing' bagi mengelakkan api merebak ke rumah bersebelahan.

"Kebakaran dikawal pada jam 6.54 pagi dan berjaya dipadamkan pada 7.12 pagi," katanya.

Menurutnya, empat mangsa terlibat dalam kejadian yang mengakibatkan dua wanita berumur 22 dan 60 tahun maut.

"Dua mangsa lelaki masing-masing berumur 33 dan 60 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.