Mesin mi siput projek kerjasama awam-swasta terbaru KPT, UTM

Noraini (dua dari kanan) melihat proses pembuatan mi siput di Kampung Sungai Nibong, Semerah. - Foto Dr Noraini Ahmad
Noraini (dua dari kanan) melihat proses pembuatan mi siput di Kampung Sungai Nibong, Semerah. - Foto Dr Noraini Ahmad
A
A
A

BATU PAHAT - Projek Pembuatan Mesin Mi Siput di Kampung Sungai Nibong, Semerah, di sini, merupakan projek kerjasama awam-swasta terbaru di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasa dan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) menambah pendapatan.

Projek kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) bersama KPT dan T&M Enterprise itu, melibatkan reka bentuk mesin atau proses baharu yang membantu meningkatkan kuantiti pengeluaran mi siput kepada 250 kilogram (kg) berbanding 80 kg sebelum ini.

"Projek tersebut juga berjaya meningkatkan kecekapan penghasilan produk yakni hampir tiada bahan mentah yang terbuang berbanding mesin yang digunakan sebelum ini yang menghasilkan bahan terbuang sebanyak 10 kg," kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan jaringan awam-swasta melalui kerjasama stategik industri dalam meningkatkan produktiviti menerusi inovasi atau teknologi bersesuaian.

Katanya, bagi tujuan berkenaan, institusi pengajian tinggi (IPT) akan berperanan sebagai penyedia penyelesaian kepada industri melalui inisiatif Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN).

Noraini berkata, projek berkenaan membabitkan geran penyelidikan berjumlah RM30,150 dan T&M Enterprise telah memberikan RM3,350 sebagai geran padanan daripada pihak industri.

"Penyertaan ahli akademik untuk melaksanakan penyelidikan berasaskan permintaan dan memperkasakan hubungan jaringan awam-swasta melalui penyelidikan inovasi daripada IPT adalah sangat digalakkan dan (KPT) menyeru agar pihak IPT berkolaborasi dengan pihak industri secara aktif," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata,usaha sama itu memberi peluang kepada masyarakat setempat memajukan perniagaan dengan kaedah yang lebih moden dan teratur dengan bantuan tenaga penyelidik universiti itu.

"Saya juga menyeru syarikat swasta lain untuk bekerjasama dengan UTM untuk menambah baik mesin atau proses yang digunakan di syarikat mereka menggunakan kepakaran tempatan," katanya. - Bernama