Ramasamy perlu cari fakta sebelum tuduh MB Pahang

Haslihelmy DM Zulhasli
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Suara Anak Pahang menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berhubung isu penguatkuasaan melibatkan kebun haram di Cameron Highlands adalah tidak wajar.

Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kenyataan tersebut membuktikan Ramasamy tidak matang berpolitik dan semata-mata hanya untuk mencari populariti.

"Ia hanya memalukan dirinya sebagai pemimpin, jika ada rasa tanggungjawab dalam isu itu, sepatutnya beliau berbincang dengan kerajaan negeri Pahang untuk cari jalan penyelesaian bukan sesuka hati minta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meletak jawatan.

"Beliau perlu hentikan drama politik ini dan DAP juga perlu tegas terhadap pemimpin mereka yang memainkan politik kotor demi popularati murahan,",katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, penguatkuasaan itu dilakukan supaya pekebun haram memberhentikan operasi kebun mereka yang berada di pinggir sungai yang boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku.

Menurutnya, Ramasamy sebenarnya tidak mendapatkan fakta sebenar berhubung isu itu dan membuat tohmahan serta mengkritik kepemimpinan negeri ini.

"Sedangkan Menteri Besar telah menegaskan tindakan penguatkuasaan berkenaan adalah ekoran pekebun-pekebun terbabit mengerjakan kebun-kebun tersebut di dalam kawasan tadahan air Terla hingga mencemarkan air Sungai Ichat di situ.

"Buat pengetahuan Ramasamy, perbuatan pekebun haram itu jelas berbahaya dari segi aspek pencemaran air dan tanah. Ia jelas terkandung dalam Akta Tanah Negara kerana melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini.

"Kami amat prihatin tentang penerokaan tanah-tanah haram di negeri ini kerana ianya jelas merugikan hasil pendapatan kerajaan negeri tersebut," katanya.

Sementara itu, Haslihelmy berkata, pihaknya juga hairan kenapa seorang pemimpin tertinggi dari Pulau Pinang cuba mencampuri urusan pentadbiran di negeri ini.

"Beliau sepatutnya membaca dan memahami dahulu klausa Tanah Negeri sebelum mengeluarkan kenyataan tidak berasas mengkritik Menteri Besar Pahang.

"Kami menasihatkan Ramasamy supaya mencari fakta sebelum membuat tuduhan berhubung isu penguatkuasaan terhadap kebun haram di Cameron Highlands," katanya

Tambahnya, pihaknya juga ingin mengetahui siasatan terkini daripada Ramasamy berhubung kes terowong yang bernilai jutaan ringgit di Pulau Pinang.

"Kenapa kes itu masih tiada tindakan lanjut (NFA) dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Dr Ramasany sebelum ini menyeluarkan kenyataan menggesa Wan Rosdy meletak jawatan apabila terdapat kira-kira 60 penceroboh tanah haram di sekitar Sungai Ichat dan sekitar kawasan rezab tadahan air Sungai Terla, Cameron Highlands.

Susulan kenyataan itu, Wan Rosdy melalui Facebook rasminya membidas kenyataan pemimpin itu yang disifatkan satu serangan tidak berasas dan tidak profesional.