Sila log masuk terlebih dahulu.

Sembilan ditahan semasa tunjuk perasaan di Munich

Penunjuk perasaan berarak di bandar raya Munich, Jerman pada Sabtu, menjelang sidang kemuncak G7. - Foto EPA
Penunjuk perasaan berarak di bandar raya Munich, Jerman pada Sabtu, menjelang sidang kemuncak G7. - Foto EPA
A
A
A

BERLIN - Sembilan orang ditahan semasa tunjuk perasaan di bandar raya Munich, Jerman pada Sabtu, menjelang sidang kemuncak G7, lapor Sputnik memetik laporan akhbar Suddeutsche Zeitung.

Dua pegawai penguat kuasa dan beberapa penunjuk perasaan turut cedera, lapor akhbar itu.

Terdahulu, media Jerman yang memetik polis Munich melaporkan kira-kira 20,000 orang telah mendaftar untuk menyertai perhimpunan pada Sabtu itu, tetapi hanya 4,000 yang hadir dan menurut penganjur kira-kira 6,000 orang turur serta dalam demonstrasi itu.

Bantahan itu dianjurkan kumpulan aktivis iklim yang menuntut pemimpin dunia berusaha lebih keras untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil, memelihara biodiversiti, mempromosikan keadilan sosial dan memerangi kelaparan.

Sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) akan diadakan di istana Bavaria Schloss Elmau bermula Ahad hingga Selasa.

G7 terdiri Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Canselor Olaf Scholz, yang akan mempengerusikan sidang kemuncak itu selaku Jerman sebagai pengerusi, turut mempelawa Perdana Menteri India Narendra Modi, pemimpin Argentina, Indonesia, Senegal dan Afrika Selatan untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Sementara itu, Presiden Majlis Eropah Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen serta delegasi organisasi antarabangsa, termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres akan menyertai sidang kemuncak itu secara maya. - Bernama

Artikel Berkaitan: