Penantian air bersih sejak 35 tahun berakhir

Dari kiri Rakiah, Zaidi, Wan Mohd Faizal.
Dari kiri Rakiah, Zaidi, Wan Mohd Faizal.
A
A
A

KUANTAN - Penantian 5,700 penduduk di Kampung Bukit Kuin, di sini untuk menikmati kemudahan bekalan air bersih sejak 35 tahun lalu bakal berakhir apabila kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) memutuskan untuk menaik taraf sistem bekalan air di kawasan itu melalui peruntukan RM5.7 juta.

Seorang penduduk, Rakiah Saman, 70, berkata, inisiatif tersebut dilihat akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih dihadapi penduduk kampung berkenaan yang tidak pernah selesai selama ini.

Menurutnya, masalah tekanan air rendah menyebabkan mereka terpaksa menadah air selain bekalan air tidak mencukupi bagi kegunaan semua penduduk.

"Kami penduduk di sini berhadapan dengan masalah tekanan air rendah yang memaksa saya dan keluarga untuk menadah air seawal jam 3 pagi kerana pada waktu itu sahaja air dapat naik ke kawasan rumah.

"Tapi bila kerajaan Pahang dan Paip menaik taraf sistem bekalan air, saya yakin semua penduduk menikmati kemudahan bekalan air selepas bulan April tahun hadapan," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kuin di sini pada Ahad.

Sementara itu, Zaidi Hassan, 56, berkata, episod mengangkut air dari rumah jiran disebabkan catuan bekalan air akan berakhir tidak lama lagi dan mengakui gembira dengan usaha kerajaan negara untuk menyelesaikan penderitaan masyarakat di kampung berkenaan.

“Kami sabar menghadapi isu air hampir 35 tahun dan merasai kesukaran mendapatkan air bagi keperluan harian disebabkan tekanan air rendah.

"Malah tangki dan saluran paip di bawah tanah juga sering pecah menjadi punca kepada catuan air penduduk di kawasan ini," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Wan Mohd Faizal Wan Ibrahim, 37, memberitahu terpaksa menunggu bekalan air yang dihantar menggunakan lori pada waktu siang untuk digunakan bagi keperluan harian seperti memasak dan membasuh.

“Saya hadapi keadaan yang sukar kerana saya mempunyai keluarga besar dan penggunaan air banyak pada setiap hari.

"Jadi saya terpaksa menyediakan beberapa tong untuk menyimpan air sebagai inisiatif, selain perlu berjimat cermat menggunakan air untuk keperluan harian," katanya.

Justeru, bapa kepada lima anak itu berterima kasih kepada kerajaan yang berusaha menyelesaikan isu sistem bekalan air yang dihadapi penduduk sejak lebih tiga dekad lalu.