Awoniyi tambah sengat penyudah Forest

Taiwo Awoniyi
Taiwo Awoniyi
A
A
A

PENDATANG baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest menandatangani penyerang Nigeria, Taiwo Awoniyi dari kelab Bundesliga Jerman, Union Berlin dengan kontrak lima tahun, kata kelab tersebut.

Media tempatan melaporkan bahawa Forest membayar Union dengan bayaran rekod kelab sebanyak 17 juta pound untuk pemain antarabangsa berusia 24 tahun itu.

Awoniyi menjadi pemain pertama direkrut Forest sejak menewaskan Huddersfield Town dalam perlawanan akhir playoff Liga Kejuaraan bulan lalu yang mengesahkan penampilan semula kelab tersebut di saingan liga utama Inggeris tersebut.

“Ia sentiasa menjadi impian saya untuk bermain di Liga Perdana Inggeris dan setelah bercakap dengan (pengurus Forest) Steve Cooper mengenai aspirasi dan melihat sejarah hebat Kelab Bola Sepak Nottingham Forest, ia adalah kelab yang saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” kata bekas produk Akademi Bola Sepak Imperial tersebut.

Untuk rekod, Awoniyi merupakan watak penting untuk Union musim lalu apabila menjaringkan 20 gol dalam 43 penampilan dalam semua kejuaraan ketika membantu Die Eisernen pimpinan Urs Fischer menduduki tempat kelima Bundesliga sekali gus slot Liga Europa.

Awoniyi juga sebelum ini merupakan pemain Liverpool dari 2015 hingga 2021, namun tidak membuat sebarang penampilan untuk pasukan utama kelab itu, dan beberapa kali dipinjamkan ke kelab seperti FSV Frankfurt (Jerman), NEC Nijmegen (Belanda), Royal Excel Mouscron (Belgium), KAA Gent (Belgium) dan FSV Mainz 05 (Jerman).