Pawang Ana penglipur lara tersohor

Lakaran Pawang Ana dalam Malayan Memories, 1916.
Lakaran Pawang Ana dalam Malayan Memories, 1916.
A
A
A

PAWANG Ana penglipur lara terpenting dalam sejarah kesusasteraan Melayu tradisional tanah air kerana kelima-lima cerita lipur lara tuturannya dikategorikan sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan namun riwayat hidupnya tidak ketahui ramai.

Beliau telah menuturkan Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Malim Dewa dan disalin semula oleh Raja Yahya Raja Muhammad Ali dan diterbitkan oleh Richard Olof Winstedt (R.O Winstedt) & R.J Sturrock pada tahun 1930-an.

Pawang Ana warga Perak. Menantunya, Mir Hassan berasal dari Kampar, Perak turut mengikuti jejak langkahnya, popular dengan cerita lipur lara berjudul Hikayat Seri Rama (1886), Raja Donan (1886) dan Raja Ambong (1886).

Pawang Ana berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kampong Pulai, Gopeng, Perak. Dia diyakini datang ke Tanah Melayu mengikut gelombang penghijrahan beramai-ramai orang-orang Rao ke Perak setelah tamat Perang Paderi (1816-1833).

Pawang Ana juga dukun yang handal. Justeru itu, penulis sejarah, Zakaria Hitam dalam buku Tradisi Penulisan Manuskrip Melayu (1997) pernah menyebut bahawa Pawang Ana adalah seorang bomoh. Selain itu, Pawang Ana juga digambarkan sebagai pendekar atau hulubalang.

Peranan Pawang Ana pertama kali muncul di persada sejarah Perak bermula pada tahun 1875 setelah berlaku pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, JWW Birch di Pasir Salak.

Kehandalannya terbukti apabila dia menjumpai mayat JWW Birch setelah tiga hari dan tiga malam British bersusah payah mencari mayatnya kerana telah hanyut ke hilir Sungai Perak.

Kegagalan Inggeris menjumpai mayat tersebut telah mendorong mereka meminta bantuan daripada Pawang Ana dan dia berjaya menjumpai mayat itu kira-kira 183 meter dari tempat kejadian.

Pawang Ana dipercayai pindah ke Temoh kerana Gopeng pernah dilanda penyakit taun atau malaria.

Apabila Kampong Batu Masjid, Temoh dibuka oleh Lebai Tenggam pada tahun 1895, Pawang Ana dikatakan bertanggungjawab menamakan kampung tersebut (Batu Masjid Permata Kami Setelah Seratus Tahun Berlalu, (2007), ketika itu Pawang Ana dianggarkan berumur sekitar 60 tahun.

Sumber tempatan juga mengatakan Pawang Ana menetap di Temoh sebagai orang kampung yang daif lagi miskin dan menjadi rujukan apabila masyarakat setempat menghadapi masalah kesihatan.

Winstedt dalam bukunya Malayan Memories (1916) menggambarkan kehidupan Pawang Ana seperti berikut: “Pengembaraan telah hilang daripada hidupnya; rumahnya usang; pakaiannya kapas, dan isterinya tua dan jelek."

Penduduk lama di Batu Masjid memanggil Pawang Ana sebagai Pawang Enei atau Pawang Anai. Nama Enei atau Anai ini dikatakan kependekan nama sebenarnya; Zainal.

Ketika Winstedt menjadi Penolong Pegawai Daerah, Tapah, Penghulu Chenderiang, Raja Yahya Muhammad Ali memperkenalkannya kepada Pawang Ana dan Mir Hassan.

Justeru menurut John Bastin dan R. Roolvink, setiap Sabtu petang, Winstedt, Raja Yahya, Pawang Ana dan Mir Hasan berkumpul di Rumah Rehat Temoh hingga petang Ahad.

Lokasi rumah rehat Temoh terletak di pinggir sebuah tasik yang acap kali menerima sinaran cahaya bulan pada waktu malam ketika Pawang Ana menuturkan ceritanya.

Penutur cerita lisan

Menurut Winstedt, lokasi pertemuannya dengan Pawang Ana itu tidak jauh dari pekan Temoh.

Winstetd mengagumi kemampuan Pawang Ana bertutur dan bercerita dengan gaya tembangnya yang tersendiri selama beberapa jam tanpa henti.

Daya ingatan yang tinggi serta kebolehan menceritakan sesuatu hikayat itu, menurut Winstetd amat luar biasa kerana tidak ada pada penglipur lara Melayu lain.

Hakikatnya, sastera rakyat seperti cerita penglipur lara disampaikan secara lisan, dari mulut ke mulut dan tidak pernah wujud dalam bentuk cetakan.

Pawang Ana menuturkan cerita yang berwatak dan perwatakan, berdialog, berplot, berwira, wirawati serta kebolehannya menyampaikan sastera rakyat dengan loghatnya tersendiri, sesuatu yang luar biasa yang sukar dicari ganti walaupun Mir Hasan sekadar mampu meniru kebolehan Pawang Ana.

Pawang Ana ketika menuturkan cerita-cerita lipur lara dipercayai menggunakan dialek Rao kerana terdapat istilah atau perkataan Rao yang masih tertulis dalam buku yang terbitkan.

Beberapa kutipan seperti perkataan telutuk; enayang; kopok; peroman; kalih; melongoh; merendang jagung (mengoreng); korinchi; berketimpong; berkukok; bercerancang terdapat dalam Hikayat Malim Deman manakala beberapa perkataan seperti teja (cahaya di kaki langit); meneluntang; ceropong; melulurnya; merambas; diolekkan terkandung dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal.

Kebanyakan syair dan gurindam yang terdapat dalam cerita lipur lara tuturan Pawang Ana itu mempunyai unsur-unsur bahasa Rao walaupun telah disunting oleh Winstedt dan AJ Strurrock serta diubah suai oleh Raja Yahya mengikut bahasa persuratan Melayu.

Tetapi pengubahsuaian tersebut telah menghilangkan keaslian cerita dan menimbulkan kritikan daripada sarjana kesusasteraan Melayu seperti Siti Hawa Hj Salleh.

Kegiatan merakam-salin cerita lipur lara Pawang Ana di Temoh berjalan beberapa tahun iaitu dari tahun 1907 hingga tahun 1914.

Apabila Winstedt dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Daerah Kuala Pilah pada tahun 1913, AJ Sturrock meneruskan kerja tersebut bersama-sama Raja Yahya.

Tuturan cerita Hikayat Raja Muda dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda disalin daripada tuturan Pawang Ana pada tahun 1907 diterbitkan dalam bentuk buku pada tahun 1908 di Singapura manakala Hikayat Malim Deman (1908), Hikayat Malim Dewa (1908) dan Hikayat Anggun Cik Tunggal (1914).

Selepas Pawang Ana menuturkan Hikayat Anggun Cik Tunggal, kisahnya terputus di situ. Boleh jadi dia telah meninggal dunia.

Penulis pernah menyelidiki di Kampung Pulai, tanah perkuburan Batu Masjid di Temoh, perkuburan Islam Chenderiang dan Beruas, Perak tetapi gagal menemui kubur Pawang Ana.

Ada dakwaan bahawa Pawang Ana pernah ke Beruas dan meninggal dunia di sana tetapi dakwaan ini tidak dapat dibuktikan setakat ini. Penulis masih lagi berusaha menyelidiki bagi melengkapkan salasilah Pawang Ana.

Penyelidikan ini masih terdapat kekurangan. Antaranya salasilah atau jurai keturunan Pawang Ana tidak lengkap.

Bagaimanapun kegiatan penyelidikan akan diteruskan kerana penulis yakin banyak fakta tentang beliau masih tersimpan rapi.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)