Turki hadapi pilihan raya lagi

No Image Caption
A
A
A

ESOK - Ahad 31 Mac lebih 57 juta rakyat Turki akan keluar mengundi sempena pilihan raya kerajaan tempatan bagi memilih datuk bandar, ahli majlis dan penghulu (muhtar) di 81 wilayah seluruh Turki.

Pilihan raya tempatan kali ini bakal menyaksikan persaingan merebut jawatan kepimpinan di pelbagai peringkat. Perebutan tersebut melibatkan jawatan datuk bandar di peringkat bandar raya (30 orang) dan daerah (1,318 orang) manakala jawatan ahli-ahli majlis, di peringkat bandar raya (20,500 orang) dan daerah (1,251 orang). Jawatan penghulu/ketua kampung pula diisi oleh 50,229 orang.

Menarik tahun ini, persaingan ini menguji kedinamikan pertembungan politik pasca sistem presidensial hasil referendum rakyat pada 16 April 2017 yang lalu.

Menurut Nebi Miş, penganalisis politik SETA, pilihan raya kerajaan tempatan tahun ini berbeza dengan 30 Mac 2014 lalu kerana kesan sistem politik baharu memaksa pembentukan dua blok pakatan untuk mencapai ‘threshold’ 51 peratus dalam pilihan raya umum lalu dan muafakat tersebut berlanjutan dalam siri pilihan raya seterusnya.

Pertama kali dalam sejarah Turki, sistem politik Turki berjaya membentuk dua blok pakatan semenjak PRU 2018 lalu. Pakatan Rakyat diwakili parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan parti Gerakan Nasionalis (MHP) manakala Pakatan Negara diwakili parti Republikan (CHP), Iyi parti, parti Demokratik Rakyat (HDP) dan parti Saadet.

Kempen pilihan raya telah hangat semenjak pertengahan 2018 lagi apabila kerajaan Pakatan Rakyat mengusulkan pilihan raya tempatan ini diawalkan pada November 2018. Namun, usul ini gagal kerana perlembagaan mensyaratkan sokongan dua pertiga daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pakatan Rakyat menjaja retorik memperjuangkan kepentingan negara sebagai modal kempen pilihan raya kali ini ekoran cabaran besar yang sedang didepani Turki bagi memikul peranan sebagai “pemain antarabangsa”.

Bagi mereka, peranan ini memerlukan kepimpinan yang berkuasa adiwira. Maka, kerajaan tempatan dan akar umbi merupakan jalan utama menginstitusikan stail kepimpinan tersebut. Selain itu, pakatan tersebut menjanjikan dasar kesatuan dan persaudaraan serta penyelesaian kepada isu kurdistan dan melenyapkan ancaman keganasan.

Artikel Berkaitan:

Bagi Pakatan Negara pula, pendekatan lebih menumpukan kepada ancaman ekonomi yang menyerang Turki dan kesannya terhadap kehidupan rakyat berbanding dulu yang terlalu menyerang kerajaan dengan asakan anti-Erdogan dan anti-AKP.

Pasca tragedi cubaan kudeta Julai 2016, ramai datuk bandar dan ahli majlis yang dipecat kerana terlibat dalam gerakan FETO, kumpulan pengganas PKK serta terpalit dengan kes pecah amanah.

Majlis Eropah juga tidak ketinggalan dalam perkembangan politik Turki. Mereka menghantar 22 pemerhati daripada 20 buah negara Eropah bagi memantau perjalanan pilihan raya PBT tersebut. Jelas sekali, perjalanan demokrasi di Turki sedang diperhatikan dengan teliti oleh blok Kesatuan Eropah (EU) khususnya, bagi menilai kelayakan Turki sebagai anggota penuh dalam EU.

Persoalan yang penting, mampukah Turki menonjolkan kepimpinan yang unggul dan berkesan demi kepentingan rakyat, negara dan global? Sama-sama kita saksikan pesta demokrasi di Turki.

*Penulis ialah pelajar PhD Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pengasas Euromates