MAHA 2022 dijangka terima sambutan menggalakkan

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Penganjuran Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Selangor yang bermula 4 Ogos depan dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ini kerana pengunjung mungkin teruja untuk ke ekspo itu memandangkan sudah empat tahun ia tidak diadakan susulan beberapa faktor termasuk penularan Covid-19.

"Jadi kali ini, saya rasa penganjurannya akan mendapat sambutan yang cukup baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang Wilayah Selatan di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Hairudin Yunos.

Ahmad berkata, MAHA 2022, yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Sedang sehingga 14 Ogos ini, akan disertai kira-kira 250 usahawan sektor tanaman, perikanan dan penternakan dari seluruh negara.

Beliau juga berkata, ekspo itu menyasarkan untuk menarik kehadiran 100,000 pengunjung setiap hari dengan hasil jualan melebihi RM250 juta. - Bernama