TSC kekal penguasaan di lebuh raya

Pasukan benua ternama negara, TSC sekali lagi mengungguli Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022 selepas Muhsin Al Redha Misbah menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Perak hari ini. - Foto Bernama
Pasukan benua ternama negara, TSC sekali lagi mengungguli Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022 selepas Muhsin Al Redha Misbah menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASUKAN benua ternama negara, Team Sapura Cycling (TSC) sekali lagi mengungguli Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022 selepas Muhsin Al Redha Misbah menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Perak, hari ini.

Pelumba berusia 30 tahun itu mencatat masa tiga jam 48:34 saat (s) dalam perlumbaan sejauh 165.2 kilometer (km) dari Manong ke Seri Iskandar untuk menewaskan wakil satu lagi pasukan benua negara Terengganu Polygon Cycling Team, Nur Amirull Fakruddin Mazuki yang mencatat masa sama.

Pelumba kelab benua Thailand, Roojai Continental Team kelahiran Johor, Muhammad Danieal Haikal Edy Suhaidee pula melakukan kejutan apabila menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 3'48:37s.

Kejayaan Muhsin menyarung jersi Pelumba Berbasikal Terbaik itu menyaksikan TSC meraih kemenangan berganda selepas Muhammad Nur Aiman Roslim mendominasi acara ujian masa perseorangan (ITT) elit lelaki, semalam.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab optimis kejayaan pelumba TSC dan Terengganu Polygon Cycling Team bakal menjadi permulaan buat skuad berbasikal negara berjuang di Sukan SEA 2023 di Kemboja.

"Memang sukar untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Vietnam, namun saya percaya pelumba kelab benua Terengganu Polygon Cycling Team dan TSC boleh menjadi intipati perjuangan di Kemboja nanti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebagai rekod, Malaysia merangkul pingat emas acara lebuh raya lelaki di Sukan SEA ke-31 bulan lepas menerusi Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dari Terengganu Polygon Cycling Team.

Dalam pada itu, dua nama besar yang pernah memenangi perlumbaan peringkat Le Tour de Langkawi iaitu Mohd Harrif Salleh dari Terengganu Polygon Cycling Team dan Anuar Manan (Terengganu A), masing-masing gagal memperagakan kayuhan bertenaga pada perlumbaan hari ini.

Mohd Harrif sekadar menduduki tempat ke-24 dengan catatan masa 3'49:14s manakala Anuar gagal menamatkan perlumbaan bersama 16 pelumba lain.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara scratch wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Asia ke-28 di New Delhi, India baru-baru ini, Nyo Chi Hui dari Perak muncul juara acara lepas beramai-ramai remaja wanita sejauh 82.6km dengan catatan masa 2'35:20s.

Tempat kedua diraih pelumba Johor A, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam dengan catatan masa yang sama dengan Chi Hui dan tempat ketiga turut disambar pelumba Johor A, Intan Suraya Tokiman dengan masa 2'35:31s. - Bernama