Laksana dasar stok penimbal atasi krisis makanan: Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan disaran melaksanakan dasar stok penimbal (stockpile) serta merombak semula seluruh struktur kementerian dan agensi bertanggungjawab sebagai penyelesaian krisis kelangsungan makanan dan kos sara hidup yang naik mendadak selain mengelakkan karenah birokrasi.

Bakal Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, konsep stok penimbal adalah konsep ekonomi yang telah teruji dan digunakan sejak krisis makanan dan kos sara hidup dekat 1970-an.

Menurutnya, ia masih beroperasi dan menjadi sebahagian dasar penting bagi negara-negara yang mengambil berat mengenai kelangsungan makanan dan kos sara hidup.

"Dasar stok penimbal memberi kuasa dan peruntukan kepada kerajaan Persekutuan untuk menggunakan peruntukan untuk membeli dan menyimpan secara pukal bekalan makanan dan keperluan utama rakyat (termasuk petrol dan diesel).

"Simpanan pukal stok penimbal ini akan digunakan dengan disuntik ke pasaran apabila ada gangguan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak.

"Adanya stok penimbal yang boleh mengurangkan kesan kekurangan bekalan mendadak (yang berlaku kebelakangan ini) akan membolehkan kerajaan mengawal kenaikan mendadak harga barang-barang makanan dan keperluan asas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, terdapat pelbagai cara dan instrumen kewangan yang boleh digunakan untuk membina stok penimbal negara, termasuklah menggunakan kontrak pembelian masa depan dan lain-lain.

"Oleh itu, saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Bekalan dan Kelangsungan Kebangsaan seperti fungsi 'National Commission on Supplies and Shortages' di Amerika Syarikat ditubuhkan sebagai badan bebas yang bertanggungjawab membina stok penimbal bagi tujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan makanan dan kenaikan mendadak harga makanan.

"Suruhanjaya ini perlulah bertanggungjawab kepada Parlimen dan dipantau sekeras-kerasnya untuk mengelakkan peruntukan membina stok penimbal disalahgunakan oleh unsur-unsur rasuah," katanya.

Mengenai rombakan struktur kementerian, Rafizi berkata, kuasa dan tanggungjawab yang menggubal, melaksana, menyelia dan menguat kuasa dasar dan undang-undang yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan makanan sepatutnya dipusatkan di sebuah kementerian sahaja.

"Ini membolehkan perancangan menyeluruh bagi seluruh rantaian bekalan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila pertindihan-pertindihan kuasa (seperti yang berlaku sekarang) dihapuskan," katanya.