RM5.7 juta atasi masalah air di Kampung Bukit Kuin

Wan Rosdy melakukan gimik pecah tanah projek naik taraf sistem bekalan air di kampung berkenaan di sini pada petang Sabtu.
Wan Rosdy melakukan gimik pecah tanah projek naik taraf sistem bekalan air di kampung berkenaan di sini pada petang Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak RM5.7 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaiktaraf sistem bekalan air di Kampung Bukit Kuin, Jalan Sungai Lembing di sini, sekali gus menamatkan penderitaan penduduk di perkampungan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan khas diberikan Kementerian Kewangan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menyelesaikan masalah air di kawasan berkenaan.

Menurutnya, projek menaiktaraf sistem bekalan air di kampung itu sudah dilaksanakan sejak Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.

"Kita beri jaminan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual. Namun kalau dapat siap lebih awal lagi bagus kerana ia dapat memberi manfaat kepada penduduk di sini.

"Saya sudah mengingatkan kepada kontraktor dilantik jika projek gagal siap, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan pecah tanah projek naik taraf sistem bekalan air di kampung berkenaan di sini pada petang Sabtu.

Wan Rosdy menjelaskan kerajaan Pahang tidak pernah mengabaikan masalah air yang dihadapai rakyat, sebaliknya berusaha menyelesaikannya secara berperingkat.

"Isu air akan diselesaikan namun minta rakyat memahami ia (isu air) tidak boleh diselesaikan secepat mungkin kerana banyak perkara perlu dilakukan.

"Proses pemerolehan peruntukan bukanlah mudah, ia membabitkan kerjasama semua peringkat, suara daripada pemimpin setempat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seterusnya ahli Parlimen.

"Kebetulan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah Timbalan Menteri Kewangan, jadi sedikit sebanyak (membantu) mempermudahkan proses itu," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai sikap parti pembangkang yang sentiasa mencari jalan menuduh kerajaan Pahang tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu air di negeri ini, Wan Rosdy memberitahu itu adalah tugas pembangkang.

"Biasalah, mereka (pembangkang) hanya buat isu saja, sudah memang kerja dia, membangkang," ujarnya.

Mengikut rekod Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), perkampungan tradisional yang terletak di pinggir bandar raya Kuantan itu mempunyai 5,700 akaun dengan syarikat berkenaan.

Sejak dua tahun lalu, lebih 100 laporan kebocoran paip dilaporkan di kampung terbabit dipercayai berpunca sistem saluran paip lama dan berada dalam keadaan uzur.