Potong gaji menteri bukan jalan penyelesaian

Mahdzir (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang waris pada perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tualak, Kuala Nerang pada Sabtu.
Mahdzir (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang waris pada perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tualak, Kuala Nerang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Saranan pemotongan gaji dan elaun menteri sebanyak 20 peratus bukan jalan penyelesaian sepenuhnya untuk membantu rakyat yang kini sedang bergelut mendepani cabaran krisis ekonomi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, masih ada kaedah yang lebih berkesan untuk digunakan bagi menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, pelbagai usaha kini sedang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama menteri-menteri terlibat termasuk mengadakan mesyuarat khas dua kali seminggu bagi membincangkan tentang perkara tersebut.

Mesyuarat diadakan dua kali seminggu bagi membincangkan hal yang berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam yang tidak akan diapungkan.

"Sehingga kini kerajaan masih memberi subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini adalah antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Tualak, dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas saranan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz agar gaji dan elaun menteri dipotong sebanyak 20 peratus sebagai sifat empati terhadap rakyat negara ini tatkala mereka sedang bergelut mendepani cabaran krisis ekonomi.

Menurutnya, sebagai bekas menteri, Rafidah seharusnya menemui Perdana Menteri bagi memberikan pandangan untuk membantu meringankan beban rakyat.

"Kalau beliau (Rafidah) ada idea, boleh jumpa Perdana Menteri dan beri cadangan jika idea tersebut boleh digunakan.

"Kita tidak tahu apa maksud sebenar Rafidah mengenai potong gaji itu, adakah benar-benar maksudkan atau hanya perli, beliau orang lama sepatutnya boleh beri idea lebih baik," ujarnya.