Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengekalan harga air, elektrik akan sokong perniagaan, ekonomi

Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di semenanjung. - Foto Bernama
Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di semenanjung. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membuat keputusan strategik untuk mengekalkan status quo kadar caj elektrik dan air bagi menyokong perniagaan, ekonomi dan rakyat secara keseluruhannya, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata, keputusan kerajaan itu adalah seiring dengan jangkaan pasaran dalam usaha menyokong sepenuhnya industri dan meningkatkan keyakinan ekonomi di samping disokong oleh permintaan domestik yang kukuh supaya trajektori Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal utuh.

Beliau yang memetik data daripada https://www.globalpetrolprices.com bagi September 2021 berkata, harga elektrik di Malaysia adalah kompetitif pada US$0.05 per kilowatt jam (kWj) untuk isi rumah dan US$0.088 setiap kWj bagi perniagaan, yang merangkumi semua komponen bil elektrik seperti kos kuasa, pengagihan dan cukai.

"(Harga di) Malaysia masih amat berpatutan di rantau ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan pada Jumaat untuk mengekalkan kadar tarif air dan elektrik semasa.

Shan berkata, sebagai perbandingan, purata harga elektrik di dunia pada September 2021 adalah AS$0.133 setiap kWj untuk isi rumah dan AS$0.125 bagi perniagaan.

Laporan itu menjelaskan dalam tempoh yang sama, harga elektrik isi rumah bagi beberapa negara ASEAN berbanding dengan Malaysia adalah Indonesia pada AS$0.097 per kWj; di Thailand pada US$0.107 setiap kWj, Filipina berharga US$0.165 per kWj dan Singapura pada AS$0.180 setiap kWj, katanya.

Susulan gangguan dalam pasaran tenaga global ditambah pula dengan konflik berterusan di Rusia-Ukraine, loji jana kuasa arang batu yang semakin uzur, pandemik Covid-19 dan musim sejuk, beberapa negara baru-baru ini iaitu Singapura, Indonesia, India dan Australia telah menyemak tarif elektrik mereka.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan laporan ini, ia menunjukkan tarif elektrik Malaysia masih amat kompetitif dan berpatutan di rantau ini dalam kalangan negara ASEAN.

"Selain itu, ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa di Malaysia memberi petanda baik untuk perniagaan tempatan dan ekonomi. Kami di Juwai IQI optimis dengan prospek ekonomi negara," katanya.

Shan berkata, firmanya kekal yakin dengan ekonomi Malaysia dan mengunjurkan KDNK negara bagi 2022 mengalami laluan 'berliku-liku' pada sekitar empat hingga lima peratus dengan harga komoditi yang lebih tinggi untuk meningkatkan bahagian fiskal dalam lembaran imbangan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dalam konteks semasa, Malaysia sedang mengalami situasi di mana sesuatu perkara itu perlu dilakukan dengan segera kerana faktor masa, dengan perlu membuat keputusan penting namun pemansuhan subsidi mungkin mengakibatkan inflasi lebih tinggi.

Beliau berkata, negara pernah mengalami situasi sedemikian pada Jun 2008 apabila kerajaan memutuskan untuk mengurangkan subsidi RON97 sebanyak 78 sen seliter sekali gus.

Kadar inflasi melonjak kepada 8.5 peratus pada Jun 2008 daripada 3.8 peratus pada bulan sebelumnya dan aliran tersebut berterusan bagi beberapa bulan.

"Belajar daripada pengalaman lepas, harga barangan lain juga cenderung kekal tinggi walaupun harga bahan api turun. Keadaan ini dikenali sebagai kekakuan harga untuk turun," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, secara ringkasnya, mengambil masa yang sesuai adalah penting dalam usaha untuk melaksanakan perubahan.

"Mesti ada hala tuju yang jelas supaya keadaan boleh dijangkakan. Walau apapun, mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakyat adalah satu kemestian kerana reaksi atau respons yang negatif dan tidak menggalakkan boleh melambatkan agenda pembaharuan dan menyebabkan tahap tekanan meningkat.

"Jadi, memperlihatkan kredibiliti juga penting untuk menunjukkan bahawa kerajaan mampu mengawal keadaan sukar semasa," katanya. - Bernama