Sedia platform galak usahawan Orang Asli pasar produk dalam talian

Abdul Rahman (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian KUOA 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, di Ipoh pada Sabtu.
Abdul Rahman (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian KUOA 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menggalakkan usahawan Orang Asli di negara ini meneroka pasaran dalam talian bagi memperluaskan permintaan terhadap produk mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha telah dilakukan kementerian dengan membantu memasarkan produk-produk usahawan terlibat melalui platform dalam talian seperti Shopee dan Lazada.

Menurutnya, bidang keusahawanan yang dijalankan oleh masyarakat Orang Asli telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

"Bagi menjana dan meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menganjurkan karnival sebagai sebuah platform mengetengahkan keunikan produk usahawan mereka.

"Kita turut mempunyai Desamall@KPLB yang menghubungkan usahawan KPLB dan agensi dengan portal membeli-belah secara dalam talian seperti Shopee dan Lazada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, di sini pada Sabtu.

Abdul Rahman berkata, sejak 2016 sehingga 2022, KPLB menerusi Jakoa memperuntukkan sebanyak RM10.9 juta bagi program keusahawanan Orang Asli di negara ini.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga hampir 1,000 usahawan Orang Asli yang berjaya dilahirkan dengan pelbagai produk.

"Usaha untuk melahirkan usahawan dalam kalangan Orang Asli sentiasa dilakukan sepanjang masa.

"Kita lihat mereka ini sangat berminat dalam keusahawanan dan sebenarnya mereka boleh berjaya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi KUOA 2022 yang berlangsung selama tiga hari, seramai 35 usahawan terlibat dengan jualan pelbagai jenis produk.