71,833 kes jenayah komersial dilaporkan, kerugian RM5.2 bilion

Acryl Sani (kanan) diberi penerangan berkenaan pencegahan jenayah semasa melawat reruai selepas melancarkan Kempen Anti Scam PDRM 2022 di Mid Valley South Key, Johor Bahru pada Sabtu.
Acryl Sani (kanan) diberi penerangan berkenaan pencegahan jenayah semasa melawat reruai selepas melancarkan Kempen Anti Scam PDRM 2022 di Mid Valley South Key, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Sebanyak 71,833 kes jenayah komersil yang dilaporkan sejak 2020 hingga Mei tahun ini sudah disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melibatkan kerugian lebih RM5.2 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada jumlah tersebut, 48,850 kes atau 68 peratus merupakan jenayah penipuan dalam talian.

"Ini adalah satu angka yang besar. Bagi kes Love Scam sepanjang tahun 2020 mencatatkan 1,580 kes manakala pada 2021 (1,460 kes) dan sejak awal tahun ini hingga Mei lalu (361 kes). Love Scam biasanya melibatkan mereka yang menyamar sama ada sebagai lelaki atau wanita yang berpura-pura sebagai kekasih.

"Sementara Macau Scam pula bagi tahun 2020 (2,254 kes), tahun 2021 (1,586 kes) manakala dari awal tahun ini hingga Mei lalu (1,612 kes). Macau Scam biasanya mereka yang menyamar sebagai pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 di Mid Valley SouthKey pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamaruddin Mad Din dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, bagi jenayah membabitkan pembelian dalam talian atau e-dagang pula pada tahun 2020 merekodkan 5,851 kes manakala pada 2021 (9,569 kes) dan dari awal tahun ini hingga Mei lalu sebanyak3,833 kes.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan kempen berkenaan yang bermula November lalu di Kuala Lumpur bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai terhadap jenayah penipuan dalam talian yang masih berlaku walaupun langkah pencegahan sudah dilakukan.

"Justeru mereka yang menjadi mangsa penipuan jenayah tersebut tampil membuat aduan supaya pihak polis dapat bertindak sekali gus mengesan penjenayah siber atau sindiket yang terlibat.

"Ada mangsa yang tidak membuat laporan polis kerana merasa malu selain beranggapan jumlah yang ditipu kecil serta tidak mahu bersusah payah ke balai polis membuat aduan," jelasnya.

Dalam pada itu, Acryl Sani menjelaskan penggunaan internet secara meluas oleh sengenap lapisan masyarakat dan kebanyakan sektor ekonomi perdagangan serta perniagaan sejak pandemik Covid-19 turut menyebabkan ramai yang terdedah dengan sindiket penipuan dalam talian.

Justeru, pihaknya menerusi JSJK akan terus melaksanakan kempen-kempen memberi kesedaran dan penerangan kepada orang ramai mengenai modus operandi yang sering digunakan sindiket untuk menipu orang ramai.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama menyediakan teks untuk khutbah solat Jumaat berkenaan kesedaran jenayah tersebut di masjid-masjid seluruh negara secara serentak bermula 29 Julai ini.

"Isi kandungan teks khutbah tersebut adalah berkenaan pencegahan daripada terpedaya. Malah kita juga akan berkolaborasi dengan 'influencers' tempatan (pempengaruh media sosial) yang dikenal pasti bagi membantu dan memberikan tips serta informasi yang dimuat naik dalam Facebook JSJK," katanya.