Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat 30 peratus

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang merekodkan 283 kes demam denggi sejak Januari hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-24 yang bermula 12 hingga 18 Jun iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 217 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, berikutan itu, kerajaan negeri meneruskan kerjasama strategik termasuk pemerkasaan 136 pasukan Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di seluruh negeri dan melaksanakan projek pelepasan nyamuk aedes berWolbachia di lokaliti panas kes demam denggi.

"Peningkatan kes demam denggi tidak boleh dipandang remeh dan trendnya berlaku secara mendadak bermula ME ke-19. Kita percaya pembukaan semula sektor ekonomi dalam fasa peralihan ke endemik, keadaan cuaca tidak menentu selain jenis kitaran serotaip virus denggi dalam komuniti menjadi faktor mempengaruhi trend peningkatan tersebut.

"Sikap sambil lewa dan menjaga kebersihan secara tidak sempurna antara punca penyumbang terbesar. Berdasarkan maklumat, pihak berkuasa tempatan kerap menganjurkan kempen kebersihan di kawasan wabak namun sambutan yang diterima lazimya dipandang sepi oleh sebahagian masyarakat," katanya di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi ASEAN dan Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes peringkat Pulau Pinang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Ma'arof Sudin.

Sementara itu, Dr Ma'arof berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan melepaskan nyamuk berWolbachia di Bukit Gedung di daerah Barat Daya, Taman Manggis di Timur Laut dan Inderawasih, Seberang Perai Tengah (SPT) yang menyaksikan kadar penurunan kes hingga 99 peratus.

Dr Ma'arof berkata, pihaknya juga akan mengenal pasti dua lagi lokaliti di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara (SPU) untuk melepaskan nyamuk itu dalam masa terdekat namun jumlah nyamuk bergantung kepada keluasan kawasan terlibat.

Beliau berkata, secara kumulatif, terdapat 16 lokaliti wabak demam denggi di Pulau Pinang iaitu tujuh di SPT, Timur Laut (lima), SPU (tiga) dan satu di Barat Daya namun tiada kematian direkodkan di negeri ini sejak dua tahun lepas.

"Bagi kes Chikungunya, ia menunjukkan penurunan sebanyak 75.68 peratus iaitu setakat 18 Jun lepas hanya sembilan kes dilaporkan berbanding 37 kes bagi tempoh sama tahun lepas," katanya dengan menambah tiada lokaliti wabak aktif Chikungunya dilaporkan di negeri itu ketika ini. - Bernama