Sila log masuk terlebih dahulu.

Menteri Luar Australia lawat Malaysia, Vietnam perkukuh hubungan

Penny Wong. - Foto AP
Penny Wong. - Foto AP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Australia, Penny Wong dijadual melawat Malaysia pada Selasa (28 Jun) untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala dan membangunkan perkongsian sedia ada untuk manfaat negara dan rantau ini.

Menteri kelahiran Malaysia itu berkata, beliau dijadual bertemu rakan sejawatannya Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Kanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya akan mengulangi komitmen kami sebagai Rakan Kongsi Strategik Komprehensif dan membincangkan pemulihan ekonomi, tindakan iklim, hubungan pendidikan dan keselamatan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Kenyataan itu turut disiarkan di laman sesawang rasmi Menteri Luar Australia.

Penny, 54, berkata beliau juga akan ke Sabah, negeri kelahirannya, sambil menambah wilayah itu sudah lama menjalin hubungan dengan Australia.

"Ia adalah wilayah tempat asal saya. Kota Kinabalu tempat saya membesar...saya sangat berbesar hati dapat kembali ke bandar ini sebagai Menteri Luar Australia," kata graduan Ijazah Undang-undang dan Seni dari Universiti Adelaide pada 1992.

Sebelum ke Malaysia, Penny akan singgah di Vietnam pada Ahad, dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Nguyen Xuan Phuc, Perdana Menteri Pham Minh Chinh dan Menteri Luar Bùi Thanh Sơn.

"Lawatan itu menjelang ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Australia dan Vietnam tahun depan, akan menumpukan pada kerjasama perubahan iklim, perkongsian perdagangan dan iltizam pelaburan serta sokongan berterusan Australia untuk pemulihan Covid-19 Vietnam," kata Penny.

Artikel Berkaitan:

Penny berkata lawatan ke Vietnam dan Malaysia adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dan memanfaatkan peluang ekonomi yang dikongsi, mengukuhkan keselamatan serantau dan menangani isu perubahan iklim.

Lawatan ke kedua-dua negara itu adalah kunjungannya yang kedua ke Asia Tenggara sejak menjadi Menteri Luar sebulan lalu.

"Hubungan yang terjalin ini lebih daripada sekadar hubungan geografi- kami mempunyai hubungan erat di Vietnam dan Malaysia - keluarga, perniagaan, pendidikan dan pelancongan.

"Lawatan saya bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan ini, membina perkongsian sedia ada demi manfaat negara dan serantau," tambahnya.

Penny dipilih sebagai senator untuk Australia Selatan pada 2001, dan seterusnya mempertahankan kerusinya pada 2007, 2013 dan 2016. Pemilihan itu menjadikan Wong senator keempat paling lama berkhidmat di Australia.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjadi Pemimpin Kerajaan di Dewan Negara pada 2013, dan seterusnya Ketua Pembangkang di Dewan Negara selepas kekalahan partinya dalam pilihan raya 2013. - Bernama