Satu kluster ILI dikesan di SBP Ipoh

Satu kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan sebuah SBP di Ipoh, dikesan pada Selasa lalu. - Gambar hiasan 123rf
Satu kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan sebuah SBP di Ipoh, dikesan pada Selasa lalu. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

IPOH - Satu kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Ipoh, dikesan pada Selasa lalu.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, keputusan itu diperoleh hasil calitan swab nasopharyngeal yang dijalankan.

Menurutnya, daripada lima sampel swab yang diambil, tiga daripadanya didapati positif Influenza A H3.

"Kluster ini mula dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta menerima makluman daripada pihak warden asrama memaklumkan beberapa pelajar sekolah mengalami gejala batuk.

"Siasatan lanjut kemudiannya mendapati daripada keseluruhan 220 pelajar yang terdedah kepada gejala, terdapat 25 orang mengalami batuk, 11 orang sakit tekak, tujuh pelajar selesema dan empat orang sakit kepala.

"Ujian Rapid Test Kit (RTK) Antigen Covid-19 terhadap semua 25 pelajar bergejala batuk adalah negatif, manakala tiga daripada lima sampel swab nasopharyngeal didapati positif Influenza A H3," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua mereka sudah menerima rawatan di Klinik Komuniti Ampang, Ipoh namun tiada pelajar dimasukkan ke hospital.

Katanya, pelajar yang bergejala juga telah ditempatkan secara berasingan di bilik isolasi asrama sekolah dan dipantau dalam tempoh 10 hari, sementara saringan harian pelajar dilakukan pihak sekolah serta dirujuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan lanjut serta rawatan di klinik.

"Orang awam dinasihati agar terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) semasa fasa transisi ke endemik seperti memakai pelitup muka di tempat awam yang tertutup atau dalam bangunan.

"Selain menjaga kebersihan tangan (membasuh tangan atau menggunakan cecair sanitasi tangan, selain memastikan pengudaraan yang baik dan sebagainya," katanya.