Piala AFC: Zhafri optimis KL mampu lepas peringkat kumpulan

Aksi Zhafri ketika menentang pasukan PSM Makassar pada perlawanan pertama Kumpulan H di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto FB KL City
Aksi Zhafri ketika menentang pasukan PSM Makassar pada perlawanan pertama Kumpulan H di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto FB KL City
A
A
A

PEMAIN tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya optimis pasukannya mampu untuk melakar ke peringkat seterusnya dalam kejohanan Piala AFC meskipun gagal mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pertama Kumpulan H menentang PSM Makassar di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat.

Jelasnya, tempoh rehat panjang yang diberikan sebelum menentang Tampines Rovers bakal digunakan sebaiknya untuk memulihkan tenaga sekali gus mampu beraksi cergas menentang wakil Singapura itu dalam misi mengutip tiga mata penuh.

“Bagi saya, kita ada kelebihan kerana kita akan berehat panjang dan dapat melihat perlawanan pasukan lawan kita terlebih dahulu.

“Kita tidak akan mengalah, kita akan pastikan kemenangan milik pasukan pada perlawanan kedua menentang Tampines Rovers,” katanya.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas berkenaan persembahannya pada perlawanan itu, Zhafri nyata belum berpuas hati dengan apa yang ditampilkan pada aksi tersebut.

Justeru beliau berharap mampu memperbaiki aksinya menjelang perlawanan akhir menentang Tampines pada Khamis.

“Bagi saya tiada tekanan, saya perlu tunjukkan aksi yang konsisten dan saya belum berpuas hati dengan prestasi semasa saya.

“Saya akan perbaiki apa yang saya perlu perbaiki, saya sentiasa ingin perbetulkan sebarang kekurangan,” katanya.