Sila log masuk terlebih dahulu.

Remaja mangsa pemerdagangan orang di Myanmar selamat pulang

Michael Chong (kanan) bersama dua remaja lelaki terbabit pada sidang akhbar di pejabat MCA pada Sabtu.
Michael Chong (kanan) bersama dua remaja lelaki terbabit pada sidang akhbar di pejabat MCA pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun selamat pulang ke Malaysia selepas dibebaskan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Dua remaja yang berasal dari Bera Pahang itu tiba di Malaysia pada Jumaat selepas pelbagai urusan dokumentasi berjaya diselesaikan.

Dua mangsa itu telah dibebaskan oleh sindiket pada 2 April lalu selepas keluarga mereka membayar wang tebusan RM10,000.

Mangsa berusia 15 tahun itu berkongsi pengalaman pahitnya apabila terpedaya dengan helah sindiket terbabit.

"Pada awalnya saya tertarik dengan iklan pekerjaan di Facebook dan Instagram yang menawarkan kerja sebagai khidmat pelanggan dengan gaji RM5,000 hingga RM7,000.

"Saya bersama rakan pergi ke Myanmar pada 22 Mac, sebelum ditahan oleh sindiket terbabit di sana," katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong pada Sabtu.

Remaja itu berkata, dia hanya menyedari ditipu apabila dipaksa bekerja sebagai 'love scammer'.

“Sindiket itu memberi saya satu buku mengenai cara-cara untuk memperdaya mangsa yang merupakan warga China di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya dipaksa bekerja 12 jam bermula pada jam 12 tengah malam setiap hari dan hanya diberi kira-kira RM900 sebagai elaun makanan," katanya.

Remaja itu turut mendakwa sindiket yang bersenjata itu turut mengawal lokasi tempat mereka bekerja.

“Terdapat ramai orang termasuk rakyat Malaysia di lokasi itu, malah saya turut melihat ada yang didera sekiranya mereka gagal menjalankan tugas," ujarnya.

Mangsa berkata, dia hanya sempat bekerja selama seminggu, sebelum merayu dengan sindiket terbabit untuk melepaskan dirinya.

"Akhirnya, keluarga saya dan rakan membayar wang RM10,000 kepada sindiket itu untuk mereka melepaskan kami berdua," katanya.

Sementara itu Chong berkata, pada awalnya sindiket berkenaan meminta RM198,951 daripada keluarga dua remaja tersebut, namun selepas beberapa rundingan melalui telefon, mereka bersetuju melepaskan kedua-duanya dengan bayaran RM10,000.

"Remaja itu juga dibebaskan susulan tekanan daripada media tempatan yang melaporkan mengenai isu pemerdagangan manusia," katanya.

Chong berkata, seorang rakannya yang juga ahli perniagaan di Thailand turut membantu menguruskan penginapan dua remaja itu di Mae Sot, Thailand selepas mereka dibebaskan oleh sindiket.

"Rakan saya itu juga membantu proses dokumentasi dua remaja itu selain mendapat kerjasama pihak berkuasa Thailand dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, dua remaja itu kemudian di bawa ke Bangkok dan ditempatkan di pusat tahanan imigresen sementara menunggu proses dokumentasi mereka selesai.

“Selepas tiga minggu di pusat tahanan dan dokumen mereka siap, mereka kemudiannya dihantar pulang pada Jumaat,” katanya.

Dalam pada itu, Chong berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 78 aduan berhubung kes rakyat Malaysia ditipu sindiket di luar negara.

“Ia melibatkan 63 lelaki dan 15 wanita. Daripada jumlah itu seramai 15 mangsa telah pulang manakala lapan individu lagi masih berada di pusat tahanan di Kemboja.

"Saya menggesa rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan di luar negara yang meragukan agar tidak terpedaya dengan helah sindiket," katanya.