USM tubuh jawatankuasa khas kaji ketelusan proses peperiksaan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada pakar-pakar luar untuk melihat semula keputusan proses dan sistem peperiksaan, terutamanya pada peringkat ijazah tinggi bidang Sains Perubatan yang ditawarkan.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, jawatankuasa ini akan meneliti sejauh mana integriti proses dan sistem peperiksaan yang dilakukan sekarang kepada seseorang calon.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan dianggotai oleh pakar dan mereka yang berpengalaman dalam bidang ini dari pelbagai institusi.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan ekoran dari aduan calon pengajian salah satu program Sarjana Perubatan USM yang mendakwa ketidaktelusan sistem yang ada menyebabkan calon gagal dalam pengajiannya.

"Pihak universiti telah menyiasat perkara ini secara dalaman dan mendapati sistem peperiksaan pengajian tersebut selama ini dibuat dengan teliti, mematuhi prosedur yang ketat dan mendapat penglibatan pakar-pakar luar, bukan hanya seorang pensyarah," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Sabtu.

Dr Faisal Rafiq berkata berkata, selepas keputusan diumumkan, calon-calon dipanggil untuk diberi maklum balas mengenai komponen-komponen yang perlu diperbaiki jika ada.

"Namun, untuk menegakkan ketelusan dan menjaga nama baik Universiti, USM menubuhkan pula jawatankuasa luar ini untuk memastikan sistem dan proses ini benar-benar utuh, berintegriti dan berkredibiliti.

"Hal ini juga perlu dilakukan untuk meyakinkan semua pihak bahawa universiti sentiasa memastikan proses dan sistem peperiksaan yang ada memenuhi keperluan kepakaran dan profesionalisme dalam bidang berkaitan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jawatankuasa siasatan ini akan memberi laporan dan maklum balas kepada universiti dalam masa terdekat.