4,319 graduan UMS diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23

Seramai 4,319 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menamatkan pengajian tahun lepas menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 selama tiga hari bermula pada Sabtu. - Foto Bernama
Seramai 4,319 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menamatkan pengajian tahun lepas menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 selama tiga hari bermula pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 4,319 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menamatkan pengajian tahun lepas menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 selama tiga hari bermula pada Sabtu.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3,664 orang menerima Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (357), Diploma (134), Diploma Pasca (87) dan Doktor Falsafah (77) yang menyaksikan 60 peratus graduan adalah pelajar berasal dari Sabah manakala selebihnya dari negeri-negeri lain serta pelajar antarabangsa.

Beliau berkata, sepanjang tiga hari majlis itu, enam sidang berlangsung iaitu pada hari pertama dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang juga Canselor UMS menyampaikan skrol kepada graduan manakala sidang seterusnya oleh Pro Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim.

"Graduan sidang satu terdiri daripada pascasiswazah bersama-sama 27 orang graduan kumpulan pertama Ijazah Sarjana Muda Pendarasan (Pengajian) Islam dari Fakulti Pengajian Islam yang baharu ditubuhkan (tahun lepas) akan menerima skrol masing-masing," katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Sepanjang tiga hari majlis berkenaan berlangsung, aktiviti 'tamu gadang' iaitu pameran, jualan serta persembahan memaparkan kepelbagaian latar belakang rakyat Sabah yang juga acara tradisi setiap kali majlis konvokesyen diadakan di universiti yang kini berusia hampir 28 tahun.

Taufiq berkata, pihak UMS juga masih menetapkan kepada semua graduan, ibu bapa mahupun petugas terlibat agar memakai pelitup hidung dan mulut ketika berada di dalam dewan sepanjang majlis konvokesyen berlangsung.

Beliau turut melahirkan rasa kesyukuran dan berbangga apabila kebolehpasaran graduan UMS meningkat daripada 90 peratus pada 2019 kepada 96.2 peratus tahun lepas melebihi daripada sasaran iaitu 94 peratus.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah hasil daripada Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar yang mengadakan pelbagai program untuk para graduan UMS antaranya termasuk upskilling (peningkatan kemahiran), reskilling (pemahiran semula) dan penempatan pekerjaan menerusi Penjana KPT CAP, KPT @state dan KPT PACE pada tahun lepas.

"Pada awal tahun ini juga, Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar telah menerima dana Khazanah Nasional MySTEP negeri Sabah daripada Britay Asia (M) Sdn Bhd berjumlah RM1.4 juta dan turut menerima dana Penjana KPT berjumlah RM750,340 menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diperoleh sebanyak RM4.7 juta.

"Dana yang diperoleh ini banyak membantu khususnya membiayai pelbagai aktiviti dan program berkaitan dengan keusahawanan, latihan bagi menjana pendapatan kepada pelajar serta graduan terutama yang sedang mencari pekerjaan," katanya.

Taufiq turut menitipkan pesanan dan berharap graduan UMS menjadi insan bertanggungjawab, berintegriti, berguna kepada masyarakat di samping tidak melupakan ibu bapa termasuk ahli keluarga yang turut memberi sokongan sepanjang mengikuti pengajian di kampus UMS. - Bernama