Beri peluang masyarakat rai kepelbagaian etnik: Halimah

Halimah Mohamed Sadique
Halimah Mohamed Sadique
A
A
A

SERDANG - Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai yang julung kali dianjurkan di Semenanjung Malaysia memberi peluang dan pendedahan kepada masyarakat menghayati kepelbagaian etnik dan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, program berkenaan bertepatan dengan agenda Semarak Uniti Keluarga Malaysia Kementerian Perpaduan Negara yang diharap dapat menjadi tapak memperkukuh ikatan perpaduan dan semangat integrasi nasional.

"Kemeriahan sambutan Tadau Kaamatan dan Hari Gawai hari ini merupakan simbolik kepada semangat perpaduan yang bertujuan memupuk semangat kebersamaan dan kekitaan dalam menerima kepelbagaian budaya Keluarga Malaysia yang menjadi tunjang kepada kelestarian, keharmonian dan kemakmuran yang kita miliki hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara bersama Persatuan Anak Borneo Semenanjung di sini, pada Sabtu.

Halimah turut berharap Persatuan Anak Borneo Semenanjung terus bekerjasama dengan kementerian itu bagi menganjurkan lebih banyak program silang budaya sekali gus memperkukuh semangat integrasi nasional dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Antara pengisian program tiga hari bermula Khamis lepas itu adalah Pameran Kebudayaan Borneo, Explorace Uniti Keluarga Malaysia, Pertandingan Masakan Citarasa Menu Keluarga Malaysia dan pertandingan memperagakan busana tradisional.

Seorang pempamer, Drothy James, 46, yang menjual busana, aksesori manik dan kraf tangan dari Sarawak berkata program itu platform yang baik bagi mempromosi dan memperkenalkan budaya etnik di Sabah serta Sarawak kepada masyarakat.

Penjual manisan dan kek lapis Sarawak, Halimah Oteng, 47, yang telah menetap hampir 20 tahun di Semenanjung berkata penganjuran program seumpama itu perlu diteruskan supaya lebih ramai dapat menyertainya dan mempelajari budaya masyarakat Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu terutama golongan muda. - Bernama