'PN tak bincang tawar Tajuddin bertanding PRU15'

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak tidak pernah berbincang untuk menawarkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, urusan mengenai calon dan kerusi merupakan hak pucuk pimpinan untuk menentukan sebarang keputusan.

Menurutnya, keputusan Pas menawarkan Tajuddin merupakan pandangan parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Saya tak boleh komen perkara yang tidak melibatkan saya. Itu hak pucuk pimpinan, kami tidak berbincang tentang perkara itu (tawaran kepada Tajuddin).

"Kita tidak terlibat dalam parti orang lain. Ia terpulang kepada Pas, itu hak mereka untuk bagi pandangan. Bagi pihak Bersatu kita tak bincang pun tentang perkara itu," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di padang sekolah berkenaan pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, kerjasama parti-parti PN di Perak kekal utuh dan kuat.

Beliau berkata, biarpun tiada perbincangan lanjut mengenai pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kesemua parti bersepakat untuk bertanding atas nama PN.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pas Perak mempelawa Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak untuk bertanding atas tiket PN pada PRU15.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria dilaporkan berkata, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu boleh mempertimbangkan pelawaan berkenaan sekiranya beliau tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU15 nanti.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu atas alasan sikap beliau yang mengkritik parti.

Sebelum ini Tajuddin turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan beliau juga dilihat kerap kali bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.