Ketidaktentuan pasaran jejas pasaran getah minggu depan

Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan penurunan minggu hadapan. - Gambar hiasan
Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan penurunan minggu hadapan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan penurunan pada minggu hadapan berikutan ketidaktentuan ekonomi global akan menjejaskan permintaan terhadap komoditi tersebut.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata, wujud kebimbangan mengenai kekurangan makanan dan musim sejuk dalam keadaan konflik yang sedang berlaku di Ukraine dan sekatan yang melemahkan dan menjejaskan negara-negara lain.

Harga minyak dan gas asli kekal tinggi dan memberi kesan buruk kepada proses pemulihan global pasca pandemik, manakala perdagangan dan permintaan getah akan terkesan berikutan kos pengeluaran dan buruh meningkat, manakala permintaan masih lembap.

"Kami percaya pasaran akan kekal dalam jajaran kecil dengan kecenderungan kepada penurunan.

"Aktiviti menambah semula stok akan kekal bagi getah kering, manakala bagi susu getah pukal, permintaannya amat terjejas dengan penggunaan dan keperluan sarung tangan getah yang tidak memberangsangkan," katanya kepada Bernama.

Difahamkan permintaan terhadap sarung tangan getah telah merosot mendadak dengan pengeluar hanya beroperasi pada kapasiti kira-kira 50 peratus.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga di pasaran tempatan dijangka menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau, pergerakan ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah ketika risiko kemelesetan global susulan kenaikan kadar yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

"Pasaran turut dijangka memantau keputusan AS untuk membatalkan tarif ke atas barangan China daripada Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang akan datang," kata peniaga.

Ketua-ketua negara G7 dari Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan AS dijadual mengadakan pertemuan selama tiga hari mulai Ahad di Kruen, Bavaria, Jerman.

Bagi minggu baru berakhir, getah tempatan diniagakan kebanyakannya bercampur-campur, dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau yang lebih lemah, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, peningkatan kadar faedah yang agresif oleh Fed, kebimbangan mengenai inflasi dan bekalan getah asli yang bertambah baik.

Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli dalam laporan statistik getah asli bulanannya berkata bekalan getah asli global bertambah baik kepada 991,000 tan pada Mei 2022, menyebabkan kekurangan bekalan yang lebih rendah sebanyak 198,000 tan berbanding anggaran permintaan global sebanyak 1.19 juta tan.

Berasaskan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 merosot enam sen kepada 704.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal susut 25.5 sen kepada 596.5 sen sekilogrram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi GMM 20 berada pada 700.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 591.5 sen sekilogram. - Bernama