Bojan kecewa KL City gagal kutip tiga mata menentang Makassar

Antara aksi pemain KL City ketika menentang Makassar pada perlawanan pertama Kupulan H, Piala AFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Antara aksi pemain KL City ketika menentang Makassar pada perlawanan pertama Kupulan H, Piala AFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak, nyata kecewa dengan pasukannya apabila gagal mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pertama Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang PSM Makassar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Bagaimanapun di sebalik kegagalan meraih kemenangan pada aksi pertama itu, Bojan tetap memuji persembahan yang ditampilkan anak buahnya terutamanya di bahagian pertahanan yang berjaya bermain 90 minit tanpa dibolosi lawan.

Tambah beliau, pasukannya berpeluang untuk memenangi perlawanan tersebut, namun ketumpulan di jentera serangan The Hawks menyebabkan beberapa peluang yang dicipta gagal diterjemahkan dengan jaringan.

“Sudah tentu saya kecewa apabila pasukan gagal untuk memenangi perlawanan ini. Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain-pemain terutama di bahagian serangan kerana berjaya mengakhiri perlawanan ini tanpa dibolosi lawan.

“Malah mereka juga bermain dengan cara yang saya mahukan sama seperti yang dilakukan ketika perlawanan Piala Malaysia sebelum ini, cuma agak kurang di bahagian serangan. Ini adalah masalah kami (jentera serangan), jika anda lihat kami mencipta beberapa peluang namun masih gagal untuk mendapatkan gol pada perlawanan ini

“Sebab itulah, anda lihat kenapa kami membawa seorang lagi penyerang (Jordan Mintah) pada jendela perpindahan kali ini. Kami mahu memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan ini,”katanya ketika sidang akhbar selepas perlawanan menentang Makassar.

Pada perlawanan pertama Kumpulan H itu, KL City gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila seri tanpa jaringan menentang Makassar sekaligus hanya berjaya mengutip satu mata pada perlawanan itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang KL City untuk lolos ke peringkat seterusnya dalam kejohanan tersebut, Bojan menjelaskan ia masih terbuka untuk mana-mana pasukan ketika ini.

Justeru beliau berharap, anak buahnya dapat bangkit pada aksi kedua menentang Tampines Rovers bagi mengutip tiga mata penuh untuk mencerahkan peluang KL untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Saya rasa peluang kami masih belum tertutup. Malah saya lihat peluang sama rata untuk mana-mana pasukan dalam kumpulan H mara ke peringkat seterusnya dalam kejohanan ini.

“Meskipun ia bukan satu tugas mudah menentang Tampines, namun saya percaya pasukan akan bangkit untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan itu,” katanya.