Perkenal bantuan baucar makanan digital bantu penerima BKM

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa memperkenalkan kaedah bantuan baucar makanan digital bagi membantu penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menghadapi inflasi di negara ini.

Pengerusi Biro Pengguna Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, baucar tersebut boleh diberikan kepada golongan sasar secara bulanan dan penebusannya dibuat melalui kad pengenalan penerima.

Menurutnya, penerima golongan B40 dan miskin bandar boleh menebus baucar berkenaan bagi membeli makanan asas seperti beras, minyak masak, sayur-sayuran, ayam dan ikan bagi meringankan beban hidup mereka.

"Dengan pemansuhan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol, kerajaan tidak lagi perlu berbelanja RM605 juta sebulan (RM550 juta untuk ayam dan telur; RM55 juta untuk minyak masak).

"Ini adalah penjimatan RM7.26 bilion untuk tempoh setahun. Namun, kerajaan hanya menghulurkan bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM630 juta dalam bentuk RM50 kepada orang bujang dan RM100 untuk isi rumah melalui BKM.

"Hakikatnya, bantuan RM50 dan RM100 ini tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, pada Mei lalu negara sudah mencatat kadar inflasi makanan mencecah 5.2 peratus, tertinggi sejak November 2011.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan Malaysia pula melaporkan harga untuk 93 peratus item dalam kumpulan makanan telah meningkat.

"Keadaan itu menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkatkan dengan ketara, seterusnya meningkatkan kadar inflasi negara dan Biro Pengguna Amanah memandang serius kebimbangan rakyat hari ini," katanya.

Tambah beliiau, sungguhpun kerajaan membuat pusingan U ke atas isu harga apungan ayam, namun harga ayam tetap dijangka tinggi.

Faiz berkata, peningkatan harga barang makanan ini akan menjadi lebih kronik apabila kerajaan memutuskan untuk menghentikan subsidi ke atas beberapa barang makanan asas termasuk ayam, telur dan minyak masak dalam botol mulai 1 Julai.

"Persoalannya, adakah kerajaan tidak memahami kesan yang akan berlaku apabila subsidi dipotong tetapi bantuan tunai yang diberikan tidak seberapa?

"Adakah kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu mengulangi kesilapan Datuk Seri Najib Tun Razak dulu yang memansuhkan subsidi secara mendadak pada ketika inflasi meningkat," soalnya.