X

Kindly register in order to view this article
!

Tak perlu panik, pulangkan saja ubat

Boon Chye (dua, kanan) melancarkan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Perak, hari ini.
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan meminta orang ramai supaya tidak panik dengan penarikan balik tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, mana-mana individu memiliki ubat tersebut diminta memulangkan semula kepada pembekal untuk diganti dengan ubat yang lain.

Beliau berkata, pengambilan ubat yang mengandungi bahan aktif losartan itu tidak memberi kesan jangka pendek kepada penggunanya tetapi mempunyai kesan jangka panjang.

"Sekiranya pesakit yang masih ada ubat tersebut harus pulangkan ubat itu, tak perlu panik. Henti guna ubat tersebut dan pulangkan kepada pembekal supaya dapat diganti dengan jenama yang lain.

"Ubat yang sudah ditarik balik tidak boleh dijual. Ubat losartan ini mempunyai banyak jenama tetapi yang terlibat cuma beberapa jenama sahaja yang tercemar dengan bahan tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Perak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, pihak kementerian sentiasa membuat pemantauan secara rawak terhadap ubat-ubat yang dipasarkan di Malaysia selain bekerjasama dengan agensi berkaitan di luar negara.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) menggantung pendaftaran tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan, bermula 7 Mac lalu.

Tujuh produk terbabit ialah Losagen 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg); Losagen 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg); Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg).

Turut digantung pendaftaran ialah produk Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); Tozaar Plus LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide); Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!