PAWE bantu warga emas jalani hidup sihat

Mereka yang terlibat menjayakan Program Warga Emas Kelantan Cakna Kesihatan Pasca Covid-19 di bawah Program KPT Prihatin, Komuniti dan Sejahtera (KRIS).
Mereka yang terlibat menjayakan Program Warga Emas Kelantan Cakna Kesihatan Pasca Covid-19 di bawah Program KPT Prihatin, Komuniti dan Sejahtera (KRIS).
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kemumin di sini memainkan peranan dalam memupuk kesedaran melibatkan aspek penjagaan makanan dan oral kepada warga emas peringkat komuniti.

Pengerusi PAWE Kemumin, Datuk Roomai Nor Ali berkata, pemakanan yang sihat merupakan komponen penting dalam menjamin kesihatan golongan berkenaan.

“Ia turut dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti keupayaan fizikal, gigi yang yang sihat, sosioeonomi, polifarmasi dan lain-lain.

“Hal ini penting bagi mengelakkan warga emas terdedah dengan pelbagai penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Program Warga Emas Kelantan Cakna Kesihatan Pasca Covid-19 di bawah Program KPT Prihatin, Komuniti dan Sejahtera (KRIS).

Kakitangan perubatan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) turut menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka.
Kakitangan perubatan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) turut menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka.

Menurutnya, penjagaan oral yang sihat penting untuk meningkatkan status kesihatan warga emas.

Beliau berkata, langkah itu selari kerana golongan warga emas berisiko menghidap obesiti, penyakit kardiovaskular, kanser, gastrousus dan lain-lain lagi.

Roomai Nor mengakui ada kalangan warga emas yang tidak mempunyai pengetahuan berhubung konsep penyediaan makanan sihat.

“Sebab itulah program intervensi yang bertujuan memberikan kesedaran penjagaan pemakanan dan oral kepada warga emas dalam komuniti sangat penting terutama semasa fasa peralihan endemik ini,” katanya.

Menurutnya, ia melibatkan program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Program tersebut turut mendapat bantuan Pengarah Projek, Dr Divya Vanoh yang juga merupakan Pengerusi Program Dietetik dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, selain 42 orang pelajar daripada program Dietetik, Pemakanan dan Sains Pergigian serta penyertaan 60 warga emas.

Roomai Nor berkata, majlis penutup dihadiri oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr Wan Rosli Wan Ishak dan Wakil Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Dr Zainab Mat Yudin.

“Kami mohon sumbangan orang ramai demi kesejahteraan warga emas di akaun CIMB 8601791518, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kemumin atau boleh menghubungi 017-9714 649 atau 09-7733 023,” katanya.